BERITA UTAMA

500,000 dijangka banjiri Putrajaya sambut Merdeka

PUTRAJAYA, 30 OGOS: Tahun ini, Putrajaya sekali lagi dipilih
sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan, yang merupakan kali keempat sebagai
tuan rumah, namun ia masih tetap istimewa.

Istimewanya Hari Kebangsaan 2019, Putrajaya akan menerima keberangkatan Yang
di-Pertuan Agong baharu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
ke acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan itu esok.

Sultan Abdullah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai
lepas.

Juga istimewanya sambutan pada tahun ini ialah apabila orang nombor satu dalam
perkhidmatan kerajaan iaitu Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ismail
Bakar mengetuai sendiri perarakan Kontinjen Berkuda Perkhidmatan Awam.

Perarakan berkuda itu akan melibatkan 44 ekor kuda dari unit berkuda
Perbadanan Putrajaya (PPj), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“KSN mengetuai pasukan ini sebagai tonggak (perkhidmatan awam),” kata Presiden
Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Penyertaan kontinjen berkuda itu juga menjadikan kuda sebagai satu-satunya
haiwan yang terlibat dalam acara perarakan itu.

Bersesuaian dengan tema sambutan tahun ini ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia
Bersih’, lebih 1,000 pelajar sekolah bergabung membuat persembahan khas
menampilkan analogi sifat anai-anai sebagai simbolik kejelikan jenayah rasuah
serta rakyat Malaysia yang tidak rela membiarkan negara hancur akibat jenayah
itu.

Dengan jangkaan 500,000 pengunjung hadir pada 31 Ogos ini, Perbadanan
Putrajaya (PPj) selaku pihak bertanggungjawab untuk menyelaras persiapan
logistik buat pertama kalinya menyediakan kemudahan tempat duduk bertingkat
bagi orang awam, yang mampu memuatkan sehingga 4,000 orang.

Lebih 15,000 peserta dan lebih 300 aset terlibat dalam acara perbarisan dan
perarakan Hari Kebangsaan 2019.

Putrajaya pernah menjadi lokasi bagi penganjuran Hari Kebangsaan pada 2003,
2005 dan tahun lepas (2018).

– BERNAMA


Pengarang :