Ribut di Kedah merosakkan 171 buah sekolah di Kedah. Foto/BERNAMA
AGENDANASIONAL

58 kes rumah rosak akibat ribut di Kota Setar

ALOR SETAR, 10 OGOS: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kota Setar merekodkan sebanyak 58 kes melibatkan kerosakan rumah akibat ribut yang berlaku malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan negeri Halimaton Shaadiah Saad berkata bagaimanapun setakat 12 tengah hari tadi tiada pusat pemindahan dibuka.

“Parlimen Pokok Sena mencatatkan 28 kes kerosakan rumah yang melibatkan kawasan Langgar, Lepai, Telaga Mas, Derga, Tajar dan DUN Bukit Pinang manakala Parlimen Kuala Kedah turut mencatatkan 28 kes yang melibatkan Anak Bukit, Kubang Rotan dan Pengkalan Kundor.

“Sementara itu, hanya dua kes dicatatkan di Parlimen Alor Setar iaitu di Suka Menanti dan Kota Darulaman. Seramai 30 pegawai dan anggota JKM terlibat dalam menjalankan siasatan untuk mengenal pasti jumlah kerugian,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Beliau berkata buat masa ini kerajaan negeri memberikan bantuan segera sebanyak RM300 menerusi Tabung Bantuan Segera (TBS) untuk mangsa terlibat dan sekiranya terdapat tambahan kes maklumat akan disalurkan dari semasa ke semasa.

-BERNAMA


Pengarang :