Selangorkini
Amirudin Shari ditemubual media sempena Selangor Corporate Colour Run 2019 di Stadium Shah Alam pada17 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
AGENDA NASIONAL

62 Tahun Merdeka: Utamakan Bahasa Kebangsaan

SEPANG, 17 OGOS: Kegagalan segelintir masyarakat Cina, India dan beberapa kaum lain menguasai Bahasa Kebangsaan walaupun sudah 62 tahun negara merdeka boleh diatasi sekiranya mereka mencontohi sikap golongan peribumi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, selain Orang Asli, masyarakat Melayu sendiri turut memiliki pelbagai etnik dengan bahasa suku masing-masing tetapi mampu menguasai Bahasa Kebangsaan dengan baik.

“Kita semua harus bersungguh-sungguh, Melayu, Cina dan India kerana orang Melayu di Malaysia pun mempunyai pelbagai ras dan etnik, ada banjar, jawa, bugis dan begitu juga kaum peribumi lain seperti Mahmeri, Orang Laut dan sebagainya tetapi mereka meninggalkan bahasa suku masing-masing dengan menggunakan Bahasa Melayu.

“Begitu juga kehendak kita kepada orang Cina, India dan lain-lain untuk mengangkat tema lebih besar dengan menggunakan kerangka ini kerana inilah pengorbanan yang sepatutnya mereka lakukan bersama-sama ke arah penyatuan serta kesepakatan dalam negara kita,” katanya.

Amirudin berkata demikian kepada media pada Majlis Bulan Sukarelawan Negeri Selangor dan Festival Pemuliharaan Pokok Selangor di Dataran Pantai Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat di sini, hari ini.

Amirudin berkata, isu memperkasakan Bahasa Kebangsaan perlu ditegaskan di semua peringkat termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

Katanya, pada masa ini penguasaan Bahasa Kebangsaan dalam kalangan generasi muda lebih baik berbanding generasi tua.

Amirudin berkata, walaupun sebelum ini kerajaan menyalurkan sejumlah peruntukan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mengadakan sambutan Bulan Bahasa setiap tahun, namun paling penting adalah penghayatan semua kaum untuk menggunakan Bahasa Kebangsaan.

Katanya, memperkasakan Bahasa Kebangsaan merupakan elemen paling ampuh bagi memelihara kesepaduan dan penyatuan semua bangsa di Malaysia.


Pengarang :