Selangorkini
AGENDA GLOBAL

7 maut, 24 hilang akibat hujan lebat di Chengdu

CHENGDU, 21 OGOS: Tujuh orang maut manakala 24 lagi hilang selepas hujan lebat pada Selasa membadai Aba Tibetan dan Wilayah Autonomi Qiang yang terletak di barat daya Wilayah Sichuan, China, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan pada Rabu.

Setakat pukul 7 malam Selasa, bencana yang dicetuskan hujan telah menjejaskan 17 perbandaran di wilayah itu dan menyebabkan enam orang cedera termasuk tiga dengan kecederaan parah, menurut biro pengurusan kecemasan wilayah berkenaan.

Lebih 34,000 pelancong telah dipindahkan dari Daerah Wenchuan yang dilanda insiden tanah runtuh berikutan hujan lebat. Pemindahan lebih 13,000 pelancong di daerah itu sedang dilakukan.

Pihak berkuasa tempatan juga sedang melakukan usaha untuk memindahkan lebih 12,000 pelancong yang terperangkap di zon pentadbiran istimewa Wolong di Wenchuan.

Menjelang pukul 12.15 tengah malam pada Rabu, bekalan kuasa dan komunikasi kecemasan telah pulih di Perbandaran Gengda di Wolong yang terjejas teruk, namun bekalan air terus berdepan gangguan.

Usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan.

– BERNAMA


Pengarang :