Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyampaikan watikah tauliah kepada salah seorang penerima Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (KOR SISPA), di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan Dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM).18 Ogos 2019. Foto REMYARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

775 pelajar ditauliah Leftenan Muda APM

SERDANG, 18 OGOS: Seramai 775 pelajar dari 21 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara ditauliahkan sebagai Pegawai Muda berpangkat Leftenan Muda, pada Majlis Pertauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-10, hari ini.

Pentauliahan itu disampaikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari diiringi Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dato’ Roslan Wahab dan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datin Paduka Dato’ Dr Aini Ideris, di Dewan Besar Pusat Kebudayaan Dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM.

Dr Aini berkata, pentauliahan berkenaan adalah satu wadah untuk memberi sokongan dan semangat kepada mahasiswa dalam menanamkan nilai semangat bekerjasama, kepimpinan dan kesukarelawan bagi mencapai personaliti unggul.

“Kor SISPA adalah satu-satunya organisasi mahasiswa yang mengiktiraf pembabitan golongan belia dalam aktiviti kesukarelawan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Pegawai yang ditauliahkan berjaya mengikuti semua silibus kokurikulum ditetapkan di samping latihan dan kursus yang disyaratkan oleh APM untuk diberi pangkat,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Terdahulu, pada acara perbarisan tamat latihan yang dibuat berasingan, seramai 17 pegawai kadet terpilih Pegawai Kadet Terbaik atas prestasi cemerlang ditonjolkan sepanjang tempoh mengikuti program berkenaan.

Dr Aini berkata, pelajar yang mengikuti latihan Kor SISPA mempunyai kelebihan nyata memandangkan mereka bukan sahaja dibekalkan dengan semangat dan keyakinan diri, malahan disuntik pelbagai kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, penyelesaian masalah serta kerja berkumpulan.

Katanya, ilmu ditimba sepanjang mengikuti latihan menjadi nilai tambah terbaik untuk diaplikasikan dalam apa juga bidang yang diceburi.

“Jadi, pegawai perlu terus mengekalkan disiplin yang tinggi, selain memanfaatkan semua pengetahuan, kemahiran dan pengalaman pertahanan awam diperolehi untuk mendepani kehidupan lebih mencabar di luar kelak.

“Mereka juga perlu memastikan setiap amalan dan perbuatan dilakukan dengan betul, ikhlas, mahir dan efisien bagi mencapai kesempurnaan serta mempunyai kualiti tinggi,” katanya.

Kor SISPA IPT ditubuhkan pada 2010 dengan tujuan memperkasa kemahiran insaniah selain menyebar dan mendidik berkaitan langkah keselamatan diri serta orang awam bagi menghadapi kemungkinan bencana.

Buat pertama kalinya, UPM diberi kepercayaan untuk menjadi tuan rumah penganjuran majlis pentauliahan kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia, APM dan Komandan-Komandan Kor SISPA IPT itu.

Pentauliahan itu turut menjadikan pembabitan siswazah kini seramai 4,544.


Pengarang :