AGENDANASIONAL

ABIM saran DBP diperkasa, atasi isu bahasa Melayu

SHAH ALAM, 23 OGOS: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa supaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberi peranan lebih luas dan berkesan dalam menangani isu penggunaan bahasa Melayu yang membimbangkan ketika ini.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, penggunaan bahasa kebangsaan penting untuk semua pihak peka dan sensitif khususnya dalam program rasmi membabitkan kerajaan.

Katanya, ia merujuk kepada bahasa kebangsaan yang dipelihara kedudukannya menerusi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan.

“Jika program rasmi kerajaan sendiri tidak memartabatkan bahasa kebangsaan, bagaimana mungkin kita menerapkan kepentingan bahasa kepada agensi swasta serta masyarakat.

“Tindakan segera perlu diambil, memandangkan hanya bangsa yang tidak mempunyai jati diri serta akar budaya sahaja, akan memperlekeh bahasanya sendiri.

“Malah, tiada kempen agresif mendaulatkan bahasa kebangsaan merentas sektor, ditambah pula penguasaan bahasa Melayu lemah pada peringkat sekolah vernakular dan persendirian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada pengumuman nama Hari Sukan Negara 2019 yang ditukar kepada Malaysia Sports Challenge 2019 oleh Kementerian Belia dan Sukan seperti diumumkan Timbalan Menterinya, Steven Sim Chee Keong.

Muhammad Faisal berkata, tindakan kerajaan itu merentap jiwa rakyat serta pendukung bahasa yang cintakan bahasa dan negaranya.

Katanya, ABIM tidak menafikan kepentingan menguasai bahasa lain tetapi meminta kementerian menukar semula nama program tebabit ke dalam bahasa kebangsaan.

“Mentaliti penggunaan istilah bahasa Inggeris pada nama sesuatu program rasmi kerajaan untuk kononnya dilihat ‘maju’ atau ‘komersial’ adalah gejala pemikiran terpasung serta minda terjajah,” katanya.

“ABIM tegas isu yang absah dan menjadi perkara pokoknya ialah penggunaan bahasa Melayu merentas sektor yang semakin dipinggirkan,” katanya.


Pengarang :