AGENDAJENAYAH

Ada pihak manipulasi insiden kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Terdapat segelintir pihak dikesan memanipulasi kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan, Kajang, Sabtu lepas dengan mengaitkan sentimen perkauman dalam kejadian itu, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

Beliau berkata perkara sedemikian boleh menjejaskan perpaduan masyarakat dan ketenteraman awam di negara ini.

“Pelbagai spekulasi telah dibuat di rangkaian komunikasi platform media sosial berhubung kes itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata polis telah mengeluarkan beberapa kenyataan rasmi mengenai punca kejadian itu dan tangkapan telah dibuat terhadap suspek-suspek terlibat bagi membantu siasatan kes itu.

Sehubungan itu, Mazlan menasihatkan masyarakat agar tidak menyalah guna rangkaian komunikasi dengan cara yang boleh memecah belah serta menganggu-gugat perpaduan antara kaum, lantas menjurus kepada polemik perkauman dan keagamaan.

Beliau sekali lagi meminta saksi-saksi yang berada di tempat kejadian untuk tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes itu.

Sabtu lepas, seorang lelaki maut dipercayai selepas terbabit dalam pergelutan susulan perselisihan faham yang berpunca daripada kemalangan jalan raya di Kilometer 239 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, berhampiran susur Bandar Baru Bangi, di sini.

Akibat kemalangan itu, polis menahan sepasang suami isteri, masing-masing berumur dalam lingkungan awal 40-an dan lewat 30-an bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat.

Semalam, kedua-dua mereka direman tujuh hari sehingga 17 Ogos ini.

-BERNAMA


Pengarang :