SUBANG JAYA, 14 OGOS: Jelas terpancar kegembiraan pada wajah kanak-kanak Rumah KIDS USJ1 apabila dapat melihat dan merasai pengalaman kerja sebagai anggota bomba.
Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berkata, tujuan pihaknya menganjurkan aktiviti itu adalah untuk memberi pendedahan bahawa tugas anggota bomba bukan hanya memadamkan kebakaran sahaja.
Katanya, beliau optimis menerusi aktiviti itu kanak-kanak terbabit dapat menjadikan tugas sebagai bomba inspirasi buat mereka sekali gus menanam cita-cita untuk menjadi anggota bomba.
“Saya dan beberapa pelajar Latihan Industri di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Subang Jaya menganjurkan aktiviti ini untuk memberi pengalaman kepada kanak-kanak berkenaan.
“Saya difahamkan mereka juga antara golongan yang pernah melalui sejarah hitam sebelum ini seperti didera dan diabaikan. Semoga menerusi aktiviti ini ia memberi semangat untuk mereka meneruskan kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai lawatan kanak-kanak Rumah KIDS USJ1 ke Balai Bomba & Penyelamat Subang Jaya, SS17, di sini, hari ini.
Dalam program itu, seramai 15 kanak-kanak Rumah KIDS USJ menyertai lawatan ke balai bomba terbabit.