AGENDABERITA UTAMAGLOBAL

Agong: Jangan remehkan pengorbanan petugas keamanan

JAKARTA, 24 OGOS: Rakyat Malaysia perlu mempamerkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Raja dan negara termasuk tidak memandang remeh pengorbanan mereka yang menjaga keamanan dan kemakmuran.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, Malaysia telah meniti pelbagai peristiwa untuk menjadi negara yang berdaulat dan merdeka.

“Justeru rakyat Malaysia tidak kira di mana sahaja di pelosok dunia wajar mempamerkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Raja dan negara,” titah baginda pada Majlis Jamuan Teh bersama rakyat Malaysia sempena Lawatan Negara ke Indonesia bermula hari ini.

Sultan Abdullah bertitah, keamanan adalah nikmat terbesar yang harus disyukuri oleh rakyat dan pemimpin negara yang bersilih ganti telah berusaha memakmurkan negara sehinggalah hari ini.

Titah baginda lawatan negara ke Indonesia bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selepas ditabalkan pada 30 Julai lepas, adalah bagi meningkatkan lagi hubungan dan kerjasama erat kedua-dua negara.

“Kunjungan saya dan Raja Permaisuri Agong juga adalah untuk melahirkan rasa perhargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Republik Indonesia yang telah memberi peluang kepada rakyat dan syarikat-syarikat Malaysia untuk menjalankan urusan perniagaan dan beroperasi di negara ini,” titah baginda.

Hampir 12,000 rakyat Malaysia bermastautin di Indonesia yang terdiri dalam kalangan tenaga profesional, pengusaha syarikat, sektor swasta dan pelajar yang menyumbang secara tidak langsung dalam peningkatan ekonomi dan hubungan dua hala kedua-dua negara.

Sultan Abdullah bertitah, kewujudan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia boleh membentuk jaringan penghubung dan komunikasi efektif kepada kira-kira 3,500 pelajar di negara ini, selain persatuan Malaysia Chambers Jakarta yang boleh memainkan peranan membentuk jaringan komunikasi dengan rakyat Malaysia di sini.

“Saya berpandangan jika jaringan komunikasi ini dapat dikukuhkan, ianya boleh dimanfaatkan oleh kedutaan dan kerajaan Malaysia dalam menyampaikan aspirasi kerajaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang bermastautin di negara ini,” titah baginda.

Seri Paduka turut bertitah agar pelajar dan rakyat Malaysia yang bermastautin di negara ini menjaga nama baik dan imej negara, bersopan santun, mengamalkan etika kerja yang mulia serta menghormati undang-undang dan budaya tempatan.

Titah Seri Paduka, hubungan Malaysia dan Indonesia sangat akrab dan istimewa dengan diasaskan melalui ikatan yang erat dalam pelbagai aspek termasuk sejarah, agama, budaya, bangsa dan bahasa.

“Saya amat berbangga melihat persahabatan yang kini pada tahap yang sangat baik dalam pelbagai bidang dan di pelbagai peringkat, sama ada di peringkat pemimpin negara mahu pun di peringkat badan-badan bukan kerajaan, dan pada segenap lapisan masyarakat,” titah Sultan Abdullah.

Seramai 200 diaspora Malaysia hadir pada majlis itu, termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku menteri pengiring dan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar.

Seri Paduka berdua yang tiba di Jakarta pagi ini dijadual berangkat menghadiri Majlis Sambutan Negara, Majlis Menghadap dan Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dan isterinya, Iriana Jokowi di Istana Bogor, Jakarta esok.

Sultan Abdullah dan Tunku Azizah seterusnya dijadual berangkat ke Yogyakarta dan mengadakan pertemuan dengan Sultan Yogyakarta dan Gubernur Daerah Istimewa Yogyakarta, Sri Sultan Hamengkubuwono X serta melawat beberapa tempat bersejarah di sana.

– BERNAMA


Pengarang :