Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melawat Majlis Ugama Islam Brunei di Brunei pada 20 Ogos 2019. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Agong lawat Majlis Ugama Islam Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN (Brunei), 20 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat melawat Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) di sini.

Ketibaan Seri Paduka disambut Menteri Hal Ehwal Ugama Brunei selaku Yang Di-Pertua MUIB, Pehin Udana Khatib, Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin Othman serta kakitangan majlis itu dan pegawai Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei.

Dalam kunjungan muhibah kira-kira 90 minit itu, Yang diPertuan Agong diberi sembah taklimat mengenai jabatan majlis berkenaan dan dipertunjukkan pameran khas jabatan itu, Tabung Dana Masjid, Badan Tanmiah Harta MUIB, Unit Perundangan Islam dan Bahagian Kawalan Makanan Halal.

Kunjungan muhibah itu merupakan sebahagian daripada atur cara rangka Lawatan Negara tiga hari Yang di-Pertuan Agong ke Brunei bermula Ahad (18 Ogos) dan merupakan lawatan negara pertama Seri Paduka sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.

Antara peranan MUIB adalah sebagai badan yang bertanggungjawab untuk menyembahkan nasihat ke hadapan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah mengenai semua perkara berkaitan dengan agama Islam.

Dalam atur cara berasingan, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Rumah Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (W.I) di Bukit Bendera, Tutong di sini bagi menyaksikan demonstrasi masakan tradisi masyarakat Brunei dan produk anyaman selain berkenan menyempurnakan penanaman pokok di kawasan Rumah pertubuhan itu.

Kunjungan Tunku Azizah diiringi Pengiran Anak Puteri Masna Bolkiah, adinda kepada Sultan Hassanal.

– BERNAMA


Pengarang :