AGENDANASIONAL

Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Nora Anne

SHAH ALAM, 15 OGOS: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’atuddin Al Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Nora Anne Quoirin, yang dilaporkan hilang sejak 4 Ogos lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda berdua berdukacita selepas mendapat perkhabaran berhubung kematian gadis berusia 15 tahun itu.

Katanya, Agong dan Permaisuri turut menyatakan penghargaan kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari Britain, Perancis, Ireland dan Malaysia serta sukarelawan yang sanggup membantu keluarga berkenaan ketika dalam kesusahan.

“Baginda berdua menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada ibu bapa, adik beradik dan seluruh keluarga Nora Anne.

“Pada masa sama, baginda turut mengingatkan orang awam supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung apa yang berlaku sehingga siasatan polis selesai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran tiba bersama keluarganya pada 3 Ogos lalu untuk percutian dua minggu di negara ini.

Bagaimanapun, dia disedari hilang dari bilik penginapannya di sebuah resort di The Dusun, Pantai Hill, Nilai, Negeri Sembilan, oleh keluarganya pada 8 pagi, 4 Ogos lalu.

Ekoran itu, pencarian dilakukan dan kelmarin, mayat perempuan ditemui kira-kira dua kilometer dari resort penginapan Nora Anne dan keluarganya.

Keluarga Nora Anne yang membuat pengecaman di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban mengesahkan mayat ditemui jam 1.57 tengah hari adalah ahli keluarga mereka.


Pengarang :