Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyantuni kanak-kanak istimewa ketika menghadiri program ‘Anak-anak Malaysia Walk 2019’ di Eco Ardence di Setia Alam, pada 31 Ogos 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Agong sertai ‘Anak-anak Malaysia Walk’

SHAH ALAM, 31 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan menyertai program ‘Anak-anak Malaysia Walk 2019’ yang berlangsung di Eco Ardence di Setia Alam di sini, hari ini.

Ketibaan Sultan Abdullah disambut Pengerusi ‘Anak-anak Malaysia Walk’, Tan Sri Lee Lam Thye dan Pengerusi Ecoworld Malaysia, Tan Sri Liew Kee Sin.

Yang turut menyertai program berjalan sejauh 300 meter itu ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Terdahulu, Sultan Abdullah turut berkenaan merasmikan pelepasan peserta bagi program yang dianjurkan Eco World Development Group Berhad dan Star Media Group Berhad.

Menurut kenyataan media Istana Negara, keberangkatan Sultan Abdullah ke program itu sebagai komitmen baginda dalam mempromosikan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

Kehadiran Sultan Abdullah sebagai ketua negara turut melambangkan simbol perpaduan dan ikrar baginda untuk memperkukuhkan keharmonian dan perpaduan rakyat.

Sementara itu, Lee dalam ucapannya berkata program itu dilaksanakan bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan hari ini serta Hari Malaysia yang akan diraikan pada 16 Sept.

“Dengan program yang disertai ribuan anak Malaysia dari pelbagai latar belakang dan bangsa ini, menunjukkan semangat perpaduan yang masih utuh dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Menerusi program ini juga kita mahu rakyat Malaysia terutamanya generasi muda bersama-sama dengan kerajaan membangunkan negara yang kita cintai ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :