KUALA LUMPUR, 1 Ogos — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memotong kek sambil disaksikan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sempena hari keputeraan baginda ke-60 pada 27 Julai lalu selepas Majlis Santapan Diraja sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 di Istana Negara malam tadi. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMA

Agong terima kejutan Hari Keputeraan di Istana Negara

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Nyanyian lagu ‘Allah Selamatkan Tuanku’ berkumandang di Istana Negara malam tadi sebagai kejutan bagi meraikan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ke-60.

Kejutan itu berlangsung ketika Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersedia untuk berangkat pulang bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha selepas selesai menghadiri Majlis Santapan Diraja malam ini.

“Allah Selamatkan Tuanku,

Allah Selamatkan Tuanku,

Allah Selamatkan Duli Tuanku,

Allah Selamatkan Tuanku.

Bait lagu berkenaan dinyanyikan penyanyi terkenal Dayang Nurfaizah dan anak-anak Permata Seni Koir yang turut disertai tetamu yang hadir.

Seri Paduka kemudian dipersembahkan kek berbentuk singgahsana dan berkenan memotong kek itu di hadapan lebih 700 tetamu yang hadir pada majlis berkenaan.

Lebih manis, Tunku Azizah berkenan menyuapkan Seri Paduka potongan kek dan kemudian memberikan salam hormat serta pelukan.

Seri Paduka berdua kemudian turut berkenan bersalaman dan bergambar dengan tetamu yang hadir sebelum berangkat meninggalkan majlis.

-BERNAMA


Pengarang :