AGENDAJENAYAH

Ahli perniagaan baru habis berhibur mati ditembak

KUANTAN, 6 OGOS: Seorang ahli perniagaan yang baru pulang dari sebuah pusat hiburan maut ditembak dalam kejadian di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, mangsa yang berusia 63 tahun dipercayai ditembak suspek tidak dikenali antara pukul 1.30 pagi hingga 2 pagi di Jalan Air Putih.

Mangsa, yang tidak didedahkan indentitinya difahamkan sebelum itu berkunjung ke pusat hiburan bersama rakan yang berusia 47 tahun.

“Kejadian berlaku di hadapan rumah sewa rakan mangsa dengan tembakan dipercayai mula dilepaskan apabila rakan mangsa keluar dari kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dipandu mangsa.

“Suspek dipercayai melepaskan tembakan dari luar kereta yang mengenai beberapa bahagian badan mangsa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Abd Jalil berkata, rakan mangsa melarikan diri sebaik sahaja mendengar tembakan itu manakala mangsa difahamkan terus memandu kereta itu berkemungkinan untuk mendapatkan rawatan.

Mangsa yang berasal dari Johor bagaimanapun tidak sempat berbuat demikian apabila keretanya ditemui orang awam di hadapan farmasi berhampiran.

“Orang awam membawa mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini namun dia disahkan telah meninggal dunia,” katanya.

Abd Jalil berkata, polis telah menahan rakan mangsa bagi membantu siasatan dan turut menyiasat motif kejadian sama ada disebabkan gengsterisme, dendam atau perkara lain.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA


Pengarang :