AGENDANASIONAL

Ahli perniagaan Tan Eng Boon mohon tangguh bicara kes rasuah

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 17 September bagi mendengar permohonan ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuahnya yang dibicarakan bersama kes bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung kelulusan menaikkan ratio pembangunan di Jalan Semarak.

Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim ketika ditemui pemberita berkata, permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

“Mahkamah turut menetapkan 13 September ini untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis berhubung permohonan itu,” katanya selepas pengurusan kes di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Mahyudin Mohmad Som yang turut dihadiri peguam Julian Ch’eng mewakili Tan.

Pada 23 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi menetapkan dua hari bermula 19 September ini bagi perbicaraan kes rasuah Tan, 70, dan Tengku Adnan, 69.

Pada 15 November 2018, Tan yang juga pengarah syarikat pemaju hartanah, mengaku tidak bersalah atas dakwaan telah secara rasuah memberikan suapan bagi faedah kepada Tengku Adnan iaitu wang berjumlah RM1 juta melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tengku Adnan.

Tan dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi Tengku Adnan kerana telah meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, di sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Disember 2013, mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tan juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Tengku Adnan sebagai penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan yang menerima untuk dirinya wang tunai RM1 juta daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tengku Adnan, yang diketahui Tan sebagai Pengarah Nucleus Properties, ada perhubungan dengan kerja rasmi Tengku Adnan, yang kesalahan itu dilakukan hasil persubahatan tersebut.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

– BERNAMA


Pengarang :