KUALA TERENGGANU, 4 Ogos — Tiga pekerja sebuah resort di Pulau Tenggol yang dilaporkan hilang pada 31 Julai lalu selamat ketika ditemui di Ibu Pejabat Maritim Terengganu hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
PERSONALITIRENCANA

Air mineral ‘talian hayat’ tiga pekerja resort hanyut

KUALA TERENGGANU, 4 OGOS: Tiga pekerja resort yang diselamatkan oleh nelayan laut dalam Thailand, semalam selepas tiga hari hanyut di laut hanya bergantung kepada air mineral botol sepanjang tempoh itu.

Fauzi Mohamad, 40, berkata sepanjang 72 jam terapung di laut, beliau bersama rakan-rakan Mohamad Hafiz Abd Rahim, 22, dan Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin, 25, hanya minum air mineral yang dibawa kerana bekalan makanan yang ada merupakan ayam, ikan dan daging mentah serta minyak masak.

Katanya, mereka terpaksa membuat catuan untuk menjimatkan bekalan air sementara menunggu untuk diselamatkan.

“Ketika sudah hampir sampai di pulau (Pulau Tenggol) kira-kira pukul 1 tengah hari Rabu lalu, bot kami tiba-tiba mati di tengah laut dan usaha menghidupkan semula enjin tidak berjaya. Mula-mula hanya satu enjin yang mati, tetapi selepas dipukul ombak kuat enjin kedua pula rosak menyebabkan kami terpaksa mengikut ke mana sahaja dibawa arus.

“Kami juga cuba menghubungi resort dan keluarga menggunakan telefon yang dibekalkan oleh syarikat malangnya tidak ada isyarat,” katanya ketika ditemui di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, di sini hari ini.

Rabu lalu, tiga pekerja resort di Pulau Tenggol itu dilapor hilang ketika dalam perjalanan dari Jeti Aking, Seberang Pintasan, di sini ke Pulau Tenggol untuk menghantar bekalan makanan dan keperluan.

Kesemua mereka ditemui selamat oleh nelayan Thailand awal pagi semalam, di lokasi kira-kira 150 batu nautika dari Kuala Dungun di Dungun.

Nelayan Thailand itu kemudian membawa mereka ke Pelantar Bunga Orkid Petronas yang kemudian memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.

Ketiga-tiga pekerja resort itu dibawa pulang oleh APMM menaiki kapal KM Pekan yang tiba di Jeti APMM kira-kira 8.45 pagi tadi, dan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk pemeriksaan lanjut.

Fauzi berkata beliau juga tidak tidur malam sepanjang tiga hari di laut kerana risau keselamatan diri dan dua lagi rakannya yang masih muda.

“Saya beri kata-kata semangat kepada Firdaus dan Hafiz dan suruh mereka berehat atau tidur sahaja kerana mereka nampak betul-betul penat.

“Pada hari kedua dan ketiga saya boleh nampak kehadiran bot polis, kapal APMM, bot pelancong serta helikopter dan cuba memanggil dengan mengibarkan kain serta menyalakan lampu tetapi semua usaha sia-sia belaka,” katanya yang sudah sembilan tahun bekerja secara sambilan sebagai pemandu bot di Coral Island Resort.

Katanya, jarak antara bot mereka dan bot penyelamat yang terdekat pada waktu itu antara empat hingga lima batu.

Sementara itu, Muhammad Firdaus yang baru tiga bulan bekerja di resort itu berkata pada hari pertama beliau menaruh harapan dan berdoa supaya diselamatkan, tetapi masuk hari kedua perkara yang terbayang di fikiran beliau hanyalah mati.

“Pada masa itu saya hanya ingat keluarga dan mati kerana sangat letih dan betul-betul putus harapan. Namun, ketika ditemui nelayan Thailand, saya rasa seperti hidup kembali dan selepas ini saya perlu masa untuk fikir sama ada mahu kembali bekerja di sana atau tidak,” katanya.

Pengarah APMM Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli menasihatkan supaya semua pihak termasuk nelayan atau operator bot pelancongan berhati-hati dan melengkapkan bot dengan peralatan keselamatan ketika turun ke laut, ekoran tiupan angin Tenggara yang kuat, cuaca berjerebu dan berkabus serta ombak kuat di perairan Terengganu pada masa ini.

“Saya minta semua operator bot pastikan kelengkapan seperti jaket keselamatan sentiasa dipakai dan alatan telekomunikasi juga berfungsi dalam keadaan baik. Dalam keadaan kecemasan perkara-perkara sebegini amat penting dan diperlukan,” katanya pada sidang media di Jeti APMM Terengganu hari ini.

— BERNAMA


Pengarang :