AGENDA NASIONAL

AirAsia catat keuntungan bersih rendah

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Keuntungan bersih AirAsia Group Bhd bagi suku kedua tahun berakhir 30 Jun 2019, berkurangan kepada RM17.94 juta daripada RM361.81 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Bagaimanapun, pendapatan melonjak kepada RM3.14 bilion daripada RM2.62 bilion sebelum ini, kata kumpulan syarikat penerbangan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

AirAsia dalam satu kenyataan berasingan berkata, pertumbuhan pendapatan yang kukuh ini telah dipacu oleh pertambahan penumpang iaitu sebanyak 18 peratus dari tahun ke tahun kepada 12.8 juta.

“Perolehan bagi tempat duduk kilometer (RASK) naik empat peratus kepada 15.40 sen pada suku kedua, didorong oleh permintaan yang kukuh, dengan faktor beban kekal mantap sebanyak 85 peratus walaupun wujud peningkatan 17 peratus pada tempat duduk tersedia untuk setiap kilometer (ASK).

“Hasil sampingan juga menokok 39 peratus dari tahun ke tahun, iaitu berjumlah RM687 juta bagi kumpulan yang disatukan, didorong oleh hasil sampingan tradisional dan aliran hasil bukan penerbangan,” katanya.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) menurun sembilan peratus dari tahun ke tahun kepada RM473 juta dalam suku di bawah kajian, disebabkan oleh kerugian semasa tahun-tahun yang lepas dalam AirAsia India yang sebelum ini tidak diiktiraf iaitu berjumlah sehingga RM147 juta.

Ia juga disebabkan kos tambahan yang berkaitan dengan entiti RedBeat Ventures, kos baik pulih dan penyelenggaraan yang lebih tinggi sebanyak 105 peratus di belakang peruntukan penyelenggaraan yang lebih tinggi iaitu kira-kira RM160 juta disebabkan peningkatan jumlah pesawat yang dipajak berikutan langkah pengewangan pesawat baru-baru ini dan saman RM10 juta daripada pengawal persaingan.

AirAsia ketika bercakap mengenai unjuran mengumumkan bahawa syarikat itu akan meneruskan strategi pertumbuhan serta mahu memperkukuhkan kedudukannya terutama sekali di rantau ASEAN.

“Kami merancang untuk pertumbuhan armada bersih sebanyak 20 pesawat merentasi enam sijil pengendali udara (AOC) pada tahun ini, dengan sembilan pesawat dijangka akan dihantar ke AirAsia India.

“Kami juga bakal menerima pesawat A321neo pertama kami pada November depan, yang lebih menjimatkan minyak, jarak penerbangan yang lebih jauh dan memiliki tambahan 50 tempat duduk,” katanya lagi.

AirAsia terus mengharapkan semua AOC ASEAN akan menguntungkan bagi 2019, dengan sasaran faktor beban sebanyak 85 peratus.

Sementara itu, kerugian bersih syarikat sekutunya, AirAsia X naik kepada RM207.11 juta berbanding RM57.46 juta yang direkodkan pada tahun sebelum ini, manakala pendapatan merosot sebanyak RM1.01 bilion daripada RM1.06 bilion.

– BERNAMA


Pengarang :