Jurugambar merakamkan penerbangan Airbus A320 AirAsia yang sedia mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Sepang. Foto AFP
AGENDA NASIONAL

AirAsia minta MAHB kaji semula sistem operasi lapangan terbang

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Sistem pengoperasian di terminal utama di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan klia2, yang baru-baru ini terganggu hampir empat hari dan menyebabkan kelewatan puluhan penerbangan, perlu dikaji semula atau digantikan dengan yang lebih baik.

Semasa membuat gesaan itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknologi dan Digital) Kumpulan AirAsia, Aireen Omar berkata sistem itu, yang beliau anggap “sudah berusia dan amat mahal” patut dinaik taraf dengan segera untuk membolehkan syarikat penerbangan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan mereka dan juga negara.

Beliau berkata, syarikat penerbangan itu sebelum ini telah mencadangkan supaya sistemnya yang didakwanya kurang mahal dan “jauh lebih kompeten daripada yang digunakan ketika ini di semua lapangan terbang di Malaysia”, tetapi telah ditolak oleh pengendali lapangan terbang itu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mula beransur pulih selepas mengalami gangguan sistem sejak 22 Mac lalu. – foto BERNAMA

“Mereka (MAHB) minta kami menggunakan sistem mereka dan kami tahu sistem mereka adalah “‘kurang kompeten’’ tetapi mereka memaksa kami menggunakan sistem mereka.

“Jadi saya fikir bahawa (gangguan baru-baru ini) menunjukkan MAHB benar-benar perlu lakukan sesuatu dan mendengar pandangan pelanggan mereka supaya mereka boleh memberikan perkhidmatan lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen penukaran mata dua hala AirAsia BIG dan Petronas Mesra di sini, hari ini.

Gangguan sistem berkenaan telah menjejaskan beberapa sistem di lapangan terbang seperti rangkaian WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan, kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi.

Keadaan terminal lapangan terbang KLIA yang sesak akibat mengalami gangguan sistem pada 22 Ogos 2019. Foto BERNAMA

Pada Isnin, MAHB berkata ia tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian itu disebabkan oleh perbuatan berniat jahat.

Awal hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa MAHB menyiasat punca sebenar kegagalan itu, sambil menegaskan ia tidak sepatutnya berlaku kerana sistem yang sama digunakan di lapangan terbang lain di dalam negara.

Dilaporkan, MAHB membuat laporan polis hari ini berhubung gangguan itu dan disahkan oleh Ketua Polis Daerah KLIA ACP Zulkifli Adamsah.

– BERNAMA


Pengarang :