Petugas simulator helikopter Airbus Malaysia AS365 David Tan (kiri) memberi penerangan kepada wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Zairina Zainudin (kanan) sewaktu mengemudi simulator helikopter ketika Program Penerbangan Penuh Simulator Helikopter Airbus Malaysia AS365 di Pusat Aero-angkasa Antarabangsa Airbus Helicopters Malaysia hari ini. –fotoBERNAMA
AGENDANASIONAL

Airbus Helicopter Malaysia sasar latihan simulasi 2,100 jam setahun

SUBANG, 6 OGOS: Airbus Helicopters Simulation Centre Sdn Bhd menyasarkan untuk menyediakan masa latihan simulasi sejumlah 2,100 jam setahun, selaras dengan tambahan simulator penerbangan penuh Dauphin AS365 N3/N3+ di pusatnya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

Sebelum ini, pusat itu hanya menempatkan simulator penerbangan penuh H225/H225M.

Pengurus Besar, Mohamed Raziff Abdul Hamid berkata, dengan adanya dua simulator, melatih juruterbang dan kru daripada kalangan pelanggan dalam sektor ketenteraan, paraawam dan sivil di seluruh rantau Asia Pasifik kini boleh dijalankan di Malaysia.

Beliau berkata, keunikan simulator penerbangan itu, dalam Airbus, adalah satu-satunya simulator untuk N3 dan N3 + yang dilengkapi dengan konfigurasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Terdapat satu lagi yang serupa (dengan ini) di Paris tetapi ia tidak mempunyai corak konfigurasi SAR. Oleh itu, kami boleh menawan pasaran lebih besar.

“Bagi April-Julai, kami telah mencapai 40 peratus daripada sasaran jumlah latihan (penerbangan),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi penerbangan menggunakan simulator penerbangan penuh AS365 di sini, hari ini.

Meliputi kawasan lebih 10,000 meter persegi, Pusat Simulasi Helikopter Airbus di Malaysia adalah usaha sama dengan anak syarikat milik penuh Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) iaitu BHIC Defence Technologies Sdn Bhd.

Kemudahan itu dilengkapi sepenuhnya untuk menyediakan spektrum perkhidmatan yang luas daripada penyelenggaraan berjadual dan tidak berjadual, penghantaran baharu, penyiapan dan pengubahsuaian baharu, sokongan logistik untuk alat ganti, perkhidmatan menggunakan jam, pengendalian lapangan dan hangar, serta latihan simulator .

Mohamed Raziff berkata, selain Malaysia, kemudahan latihan itu telah menerima pelatih daripada beberapa negara termasuk Australia, Jepun, Oman, Korea Selatan, Taiwan, India, Indonesia, dan Thailand.

Kebanyakan pelanggan N3 dan N3 + adalah daripada kerajaan, tentera dan paraawam, katanya. – BERNAMA


Pengarang :