AGENDANASIONAL

Akaun Najib dikendalikan dengan buruk

KUALA LUMPUR, 1 OGOS : Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa tiga akaun bank yang dimiliki bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dikendalikan dengan buruk sekali.

Perkara itu didedahkan menerusi log perbualan BBM antara bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling dan bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping, pada 9 Feb 2014, yang dibacakan oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh.

Harvinderjit : Pesanan Ung Su Ling kepada anda “ahh saya dapat bayangkan pengendalian akaun itu buruk”. Beliau merujuk kepada akaun yang berakhir dengan nombor 898, 906, 880 (akaun milik Najib). Dia faham bagaimana akaun itu diuruskan.

Yu : Berdasarkan pesanannya, ya.

Harvinderjit : Pesanan Ung Su Ling kepada anda “bagaimanalah joanna” dan anda menjawab “masih menunggu bos saya untuk kembali”.

Ung Su Ling berkata “Saya akan berjumpa dengan kawan kita (ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low) untuk mencari jalan lebih baik bagi menguruskan perkara ini” dan anda menjawab “tiada apa perlu dirisaukan”.

Perbualan itu berkaitan dengan pergerakan wang dari dana SRC International Sdn Bhd ke dalam akaun Najib yang bernombor 880, bagi memastikan cek yang dikeluarkan daripada akaun itu tidak ‘ditendang”.

Saksi pendakwaan ke-54 itu juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa terdapat banyak pemindahan dana bank dari SRC ke akaun Najib yang bernombor 880.

Harvinderjit : Antara 8 Julai 2014 terdapat 30 (RM30 juta) pengeluaran, 30 masuk, 30 keluar, 30 masuk, 30 keluar, 30 masuk.

Yu: Ya

Harvinderjit : Ini kelihatan transaksi pasaran wang

Yu : Tidak pasti

Harvinderjit : Terdapat unsur-unsur keuntungan wang

Yu : Tetapi amaunnya sama

Hari ini merupakan hari keenam Yu di periksa balas oleh Harvinderjit pada hari ke-47 perbicaraan bekas Perdana Menteri berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Najib, 66, sedang menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Isnin. -BERNAMA


Pengarang :