BUDAYARENCANA

Aliran hidup

Oleh Regina Ibrahim

Lama sebenarnya menelan rasa sepanjang membesar di perumahan PPR  Pekan Gadung. Telinga boleh menanah, hati boleh pecah dan jiwa kalau boleh di x-ray nampaklah retak seribu.

Sesekali dahulu aku pernah berdoa agar jadi seperti mereka. Bercakap kasar, mata terjegil melihat orang, mulut tidak berkunci,  sampah buang sahaja dari atas biar berkecai di bawah. Pernah, pernah heboh di akhbar kematian warga emas terhempap meja kayu yang dibuang. Namun di negeri ini, berita heboh hanya sekadar seminggu sahaja, kemudian senyap sepi bila penghuni kembali mendakapi keselesaan lama.

Penat memanjat tangga kecemasan untuk naik ke tingkat empat bila lif rosak. Rumah tempat aku emak dan adikku Zaini membesar. Zaini satu hal yang berbeza. Kalau dahulu jenuh aku marah-marah, sekarang tidak kuasa lagi. Dia memilih  berambus dari perumahan yang  dianggap neraka dan menyewa bilik di pekan. Sedih bila dikenangkan kemarahan kami padanya. Aku sebagai yang sulung akan menangis kesal. Aku akur kami memarahinya  hanya kerana telinga kami tidak tahan cercaan penghuni. Makian mereka dahsyat… depan-depan, berbisik manja biar terdengar dan terakhir menghantar sekumpulan orang dari madrasah flat. Macamlah aku tidak tahu tingkah anak anak mereka?

Ibu sejak lama sakit jadi bertambah sakit. Murung tidak bercampur. Tambah hancur bila bertubi-tubi dikatakan tidak pandai membesarkan anak, kami kononnya menjadi contoh buruk masyarakat. Nabi tidak mengaku umat! Ya, Tuhan pedihnya hidup…

Dalam gerombolan orang madrasah, aku cam muka Pak Hassan, apa tidaknya? Aku pernah dicabulnya ketika usia 10 tahun. Mana mungkin dilupa wajah lelaki sialan! Setelah ditarbiah, Zaini bersumpah tidak mahu pulang pulang lagi. Menambah sesak hati, ibu mana yang tidak terpukul bila anaknya dituduh menjual badan? Berpuluh-puluh kali Zaini cuba menyakinkan, rezekinya di kedai makan. Dia hanya tukang masak berpakaian perempuan, berhempas pulas diulanginya bahawa dia bukan penjual jubur. Malu sebenarnya menghadapi situasi sebegini. Aku ikut serentak memarahi Zaini, biar dia diam, bukan apa…  Takut-takut kalau ibu tiba-tiba terlentang.

Sewaktu pulang lewat  akibat kerja lebih waktu, aku pernah disekat. Diheret  enam anak anak jantan penghuni flat 10 tingkat. Aku cam muka semua, cuma aku tidak tahu nama mereka.

“Jangan lepas dia…”

“Peghhh…dok buat macam perangai jantan ya…”

“Sekali kau kena, kau nanti minta lagi…sedap tau.” Entah suara garuk mana berbisik di telingaku.

“Apa ikat ikat… bukalah biar dada bernafas…” Lelaki paling gemuk kedengaran berfalsafah jengkel merentap ikat dada getahku.

Malam bagaikan membantu segala kedurjanaan mereka. Menjerit pun tidak berguna, tangan terkilas, rayuanku dipermain-mainkan.

“Eh? Pandai pula kau bercakap macam perempuan betul…” Perlian entah siapa antara mereka.

Mereka puas, bergilir-gilir membaham ratah aku seperti binatang. Saat itu, segala tentang diriku menerpa bagaikan video ulang tayang di minda. Kemeja lelaki, seluar jeans, kasut sukan, hempas pulas mengikat dada dan rambut dipangkas pendek oleh si mamak di pekan. Antara basah tangis, masin darah dan lendir lendir di kelengkang menjadikan aku tidak tahu apa perasaan sebenarnya, esok apa akan jadi? Mahu diceritakan pada siapa? Segalanya tamat bila aku bagaikan terdengar hilai tawa manusia beramai ramai… Bunyinya bagaikan seluruh penghuni flat bergabung, bertepuk seronok pada situasi padan mukaku.

Kederatku kuatkan. Tercari-cari punat lif yang hilang akibat sifat penghuni, budak India yang mengesot ke belakang  kerana ketakutan melihat darah dan bajuku yang rabak.

“Jatuh motor…,” aku berbohong.

“Lain kali kalau ngantuk jangan bawalah….,” marah ibu yang lemah terbaring menanti di ruang tamu.

* * *

Segala ingatan berputar ligat sewaktu menanti Zaini tiba di hospital. Dia akan membawa RM250 upah liang lahad. Aku sebelumnya meminta persetujuannya penuh hemah.

“Tak apa, kalau macam tu Zai ikut saja, lagipun di flat siapalah kenalan mak? Orang nanti cerca lagi ada la…”

Aku memaksa diri berbaju kurung dan Zaini dengan rambut berwarnanya sedaya mampu berlagak jantan. Hanya ada lima orang di perkuburan termasuk kami berdua. Kami rasmi yatim-piatu.

“Takkan tak ada duit kopi?” tanya pembantu pelantun talkin. Lantas aku korek apa yang ada dalam dompet, minta pada Zaini duit tambahan. Apa sahaja asal selesai.

Minggu ini minggu terakhir. Pembeli unit bersetuju, mudah kerana tidak berharga pasaran, aku kemaruk hidup baharu.

* * *

Aku memilih tengah malam yang sunyi. Biarlah malam menyebelahiku untuk kali terakhir. Ruang rumah sempit yang tidak seberapa aku renungi lama. Bertahun-tahun segalanya sudah aku riki. Aku jinjing dua botol yang masing-masing 500ml beramaran tengkorak bercetak neurotoxins, menarik pagar berkarat di tingkat 10 yang tidak berkunci. Sempat mendongak kelam ditaburi bintang.

Dengan lafaz Bismillah, tangki bekalan air berpermukaan plastik hitam kutarik hati-hati, tiada bunyi ketika mencurah cecair, sambil berpesan jangan kalut terlalu. Bukankah selama ini aku tenang menghadapi mereka? Berselawat salam, bagaikan pencuri malam kupastikan tiada sebarang kesan tertinggal. Bekas racun jangan sampai tertinggal di lokasi manusia tidak berhati perut, penting diri, malah miskin kurniaan rasa kasih.

Motor Ex-5 cabuk yang kerap dianiaya selama tinggal di sini nampaknya selamat, kupacu membelah dini pagi tanpa menoleh lagi menuju tempat pelupusan sampah jauh dari Flat Gadung, nafas kuhela lega kerana esok dari kejauhan akan kudengari cerita petaka mereka.


Pengarang :