AGENDANASIONAL

Amirudin: Wanita KEADILAN Selangor makin kukuh

SHAH ALAM, 25 OGOS: Wanita KEADILAN Selangor dilihat semakin kukuh apabila kebanyakan pucuk pimpinannya membarisi pembuat keputusan di peringkat negeri dan pusat.

Pengerusi KEADILAN Selangor, Amirudin Shari berkata, perkara itu terbukti apabila Selangor berada di hadapan dengan meletakkan 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan di negeri ini.

“Setelah 10 tahun pentadbiran, kita mempunyai Ahli Majlis, EXCO dan Timbalan Speaker wanita. Terbaharu, kita dengan beraninya melantik ketua kampung dalam kalangan kaum hawa juga.

“Mungkin tidak lama lagi jika Majlis Perbandaran Subang Jaya menerima status bandar raya, kita akan miliki Datuk Bandar wanita juga.

“Oleh itu KEADILAN secara jelas meletakkan dasar bahawa kita tidak sesekali mendiskriminasikan wanita,” katanya ketika berucap pada perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang Peringkat Selangor 2019 di Hotel Carlton Holiday & Suites, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden KEADILAN, Zuraida Kammaruddin; Ketua Wanita Pusat, Haniza Talha dan Ketua Wanita Selangor, Dr Daroyah Alwi.

Turut sama, 300 ahli perwakilan cabang wanita dari 22 cabang seluruh Selangor.

Pada masa sama, Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar berkata, KEADILAN juga perlu terus kekal amanah dan bertanggungjawab dalam memimpin masyarakat hari ini.

“Kita perlu buktikan bahawa kerajaan Malaysia baHAru bukan ‘propa’, kita wujud kerana mahu melakukan reformasi dan mengubah kepimpinan sebelum ini.

“Marilah bersama melaksanakan aktiviti dan program yang diterima rakyat, sekaranglah masa terbaik untuk kita buktikan dan jangan gagal atau abaikan peluang yang ada,” katanya.


Pengarang :