Anak panda gergasi kedua dari pasangan Xing Xing dan Liang Liang dengan rasminya diberi nama Yi Yi. Foto – Bernama.com
AGENDANASIONAL

Anak panda gergasi kedua diberi nama Yi Yi

SHAH ALAM, 1 OGOS : Anak panda gergasi kedua dari pasangan Xing Xing dan Liang Liang dengan rasminya dinamakan sebagai Yi Yi yang membawa maksud persahabatan.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, nama anak panda gergasi kedua itu dicadangkan Kerajaan Malaysia melalui KATS dan dipersetujui Kerajaan Republik Rakyat China menerusi China Wildlife Conservation Association (CWCA).

Kelahiran Yi Yi pada 14 Januari tahun lalu menjadikan Malaysia negara pertama dunia yang menerima kelahiran secara semula jadi dalam kurungan dan di luar musim mengawan iaitu setahun setengah selepas kelahiran anak pertama, Nuan Nuan pada 18 Ogos 2015.

“Anak panda gergasi kedua (Yi Yi) kini berusia 18 bulan berada dalam keadaan sihat dan sudah mencapai berat 50 kilogram. Pada masa ini, Yi Yi masih menyusu dan mula diberikan diet seperti daun buluh dan lobak merah,” kata kenyataan itu.

Hari ini, KATS dan Zoo Negara mengadakan Majlis Penamaan Anak Giant Panda Kedua di Pusat Konservasi Giant Panda, Zoo Negara.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar yang turut dihadiri Timbalannya, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji; Duta Republik Rakyat China ke Malaysia, Bai Tian; Presiden Malaysian Zoological Society, Dato’ Sr Zaharin Md Arif dan Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmat Lana.

Yi Yi anak panda gergasi betina kepada pasangan Xing Xing dan Liang Liang Yi Yi mula dipamerkan kepada umum pada 26 Mei 2018.

Kerajaan Malaysia berharap Yi Yi akan mengeratkan dan mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia ada terjalin di antara Malaysia dan Republik Rakyat China.


Pengarang :