PENDAPATRENCANA

Analisis: Prestasi Selangor di Liga Super 2019

Selepas mengharungi 22 perlawanan, akhirnya saingan Liga Super Malaysia 2019 melabuhkan tirainya, pada 21 Julai lalu.

Bagi pasukan Selangor FA, walaupun agak hambar di awal musim, namun kejayaan menamatkan saingan di tempat ketiga dengan penuh dramatik adalah satu pencapaian yang wajar dibanggakan.

Selangor meraih tempat ketiga, memintas Kedah di ‘selekoh akhir’ selepas mengutip 37 mata di belakang juara Liga Super enam kali, Johor Darul Takzim yang mengumpul 53 mata sebagai juara dan Pahang ditempat kedua dengan 43 mata.

Selangor memastikan tempat ketiga apabila menewaskan PKNS FC 3-2 sebelum disahkan dengan bantuan kemenangan besar 5-1 Felda United ke atas Kedah pada perlawanan terakhir masing-masing.

Berdasarkan sistem defisit jumlah gol berbanding bolos, Kedah mampu mengelak daripada dipintas Selangor untuk mengekalkan kedudukan ketiga liga jika berjaya membenam Felda United pada perlawanan ke-22.

Selangor di bawah kepimpinan RMS 

Pencapaian Selangor di bawah pimpinan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah pada tahun ini jauh lebih baik berbanding ketika di bawah pengurusan terdahulu kerana Selangor hanya mampu berada di kedudukan kelapan dengan mengutip 27 mata, pada musim lalu.

Musim 2019 menyaksikan Selangor mencatatkan 10 kemenangan, tujuh kali seri dan lima kekalahan berbanding musim 2018, tujuh kemenangan, enam seri dan sembilan kekalahan.

Pada musim ini, Selangor mencatatkan enam kali menang, tiga seri dan dua kali tewas ketika bermain sebagai tuan rumah, di Stadium Shah Alam.

Sementara ketika bertandang di gelanggang lawan pula, Selangor mencatatkan keputusan empat kali menang, tiga seri dan tiga kekalahan.

Berdasarkan perbandingan jaringan gol pula, menyaksikan jentera serangan Selangor pada musim ini lebih efisien berbanding musim 2018 apabila berjaya mencetak 41 gol berbanding musim 2018 sebanyak 35 gol.

Manakala di bahagian pertahanan pula, Selangor perlu memikirkan strategi lebih ampuh bagi menghadapi saingan Piala Malaysia dan musim akan datang apabila menjadi pasukan keenam paling banyak dibolosi dengan 35 kali bolos iaitu satu jumlah yang besar.

Bagaimanapun, jumlah ini masih lebih baik berbanding 39 kali dibolosi pada musim 2018.

Kemenangan terbesar Selangor dicatatkan pada perlawanan ke-18 liga bertemu Pahang dengan keputusan 5-2 dan perlawanan ke-21 bertemu PJ City dengan kemenangan 3-0.

Kekalahan terburuk pula dicatatkan ketika dimalukan PKNS FC 4-0 pada perlawanan ketiga liga, di Stadium Shah Alam.

Ifedayo unggul di bahagian serangan

Bagi senarai penjaring gol pula, walaupun hanya menyertai Selangor pada jendela perpindahan di pertengahan musim, namun pemain import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun, menjadi pemain paling berbisa buat kubu pasukan lawan apabila meledak 12 gol, berkongsi jumlah jaringan dengan penyerang prolifik Johor Darul Takzim, Diogo Luis Santo.

Jika berdasarkan tarikh penyertaan dalam pasukan masing-masing, Ifedayo mencatatkan nisbah jaringan 1.2 gol bagi setiap perlawanan lebih baik berbanding penjaring terbanyak Liga Super, Kpah Sherman dari PKNS FC dengan 0.63 gol bagi setiap perlawanan (14 gol keseluruhan).

Manakala Sandro da Silva turut menyinar apabila menjaringkan lapan gol dan Endrick Dos Santos pula empat gol.

Amri Yahyah dan Khyril Muhymeen muncul sebagai pemain tempatan penjaring gol terbanyak dengan tiga gol, di samping seorang lagi pemain import, Rufino Segovia.

Sean Selvaraj dan Syahmi Safari masing-masing menjaringkan dua gol, manakala Antonio German, Faiz Nasir dan Syazwan Zainon satu gol.

Menutup mulut pengkritik 

Kejayaan Selangor bukan sahaja melegakan penyokong pasukan gergasi merah, sekali gus menutup mulut pengkritik termasuk mereka yang melaungkan #sathiaout pada awal musim ini.

Bagaimanapun, anak buah, B Sathianathan, masih mempunyai satu lagi misi penting iaitu membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala ke bumi Selangor seperti disasarkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon, di awal musim.

Peluang dalam Piala Malaysia 

Selepas terlepas peluang dalam saingan Liga Super dan Piala FA, satu-satunya peluang yang masih ada menerusi saingan Piala Malaysia.

Undian Piala Malaysia yang dilangsungkan pada 23 Julai lalu meletakkan Selangor di dalam kumpulan D bersama Melaka, Felda United dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Rekod pertembungan Selangor dengan pasukan kumpulan D tahun ini memberi sedikit kelebihan kepada Selangor.

Cabaran terbesar Selangor dijangka hadir menerusi Felda United apabila tiga pertembungan kedua-dua pasukan bagi tahun ini agak sengit.

Selangor dan Felda United mencatatkan keputusan seri 1-1 pada pusingan pertama Liga Super di Stadium Shah Alam sebelum Selangor mencatatkan kemenangan 2-1 pada pertembungan pusingan kedua di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Felda United juga menjadi batu penghalang untuk Selangor melangkah ke peringkat suku akhir Piala FA selepas ditewaskan dengan keputusan 2-1 di Stadium Shah Alam.

Manakala rekod dua pertemuan dengan Melaka United pula memberi sedikit kelebihan kepada Selangor dengan kemenangan 4-3 pada pusingan pertama Liga Super di Stadium Hang Jebat dan seri 1-1 di pusingan kedua, di Stadium Shah Alam.

Sementara itu, Selangor masih belum berkesempatan menguji PDRM apabila kedua-dua pasukan itu berada dalam kumpulan berbeza dengan Selangor beraksi di Liga Super dan PDRM di Liga Perdana.

Di atas kertas, walaupun bukan mudah tetapi Selangor tampak mempunyai kelebihan merebut salah satu daripada dua slot untuk ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.


Pengarang :