‘Dark side’ atau DS iaitu pemilik akaun laman sosial yang memaparkan sisi gelap khususnya keinginan dan fantasi seksual.
PENDAPATRENCANA

Analisis: ‘Wartawan jenayah’, ‘penyiasat forensik’ di media sosial

Kebimbangan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengenai kewujudan ‘pelapor media’ tidak beretika yang hanya mahukan populariti di platform media sosial memang sangat berasas.

Perkara itu dizahirkan beliau di Majlis Perasmian Seminar Dan Table Top Exercise Anjuran Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor di Hotel Holiday Villa baru-baru.

Dalam ucapannya, beliau merujuk kepada segelintir nitizen tidak bertanggungjawab memuatnaik status yang mereka sendiri tidak memahami natijahnya.

Sehari dua ini, kes kematian seorang lelaki akibat dilanggar selepas kemalangan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban berhampiran susur keluar Bandar Baru Bangi Sabtu lalu pula menimbulkan perdebatan di media sosial.

Dengan tidak semena-mena muncul ramai Detektif Conan, Wartawan Jenayah, mahupun Penyiasat Forensik dengan membawa analisis masing-masing berhubung tragedi malang itu.

Tidak dinafikan ada nitizen memberi hujah dengan penuh berhati-hati dengan mengelakkan sentimen tidak diingini dan pada masa yang sama cuba tidak mengguris perasaan pihak terbabit.

‘Detektif Conan’ yang tahu segala-galanya 

Manakala satu lagi golongan lain, walaupun jauh sekali berada di tempat kejadian, namun berlagak seperti ‘Detektif Conan’ yang tahu segala-galanya.

Mereka juga dengan lagak sebagai seorang ‘wartawan jenayah’ melaporkan kronologi kejadian dan dengan tidak beragak-agak juga memberikan justifikasinya sekali, mendahului wartawan jenayah sebenar yang diikat dengan etika kewartawanan.

Lebih hebat lagi, Detektif Conan dan wartawan jenayah ini juga bertindak sebagai ‘penyiasat forensik’ dan sama seperti tadi, mereka memberikan justifikasi kejadian berdasarkan ‘bukti’ yang mereka temui, jauh lebih ‘pantas’ dan ‘cepat’ daripada Penyiasat Forensik Bukit Aman.

Percayalah, apabila tiba peringkat perbicaraan di mahkamah nanti, merekalah juga akan menjadi Pedakwa Raya atau Peguam Bela dalam kes ini.

Apabila sampai di peringkat keputusan nanti, mereka juga akan menjadi hakim untuk membacakan keputusan yang sudah dibuat semasa Detektif Conan baru memulakan siasatan awal lagi.

Detektif Conan, wartawan jenayah dan penyiasat forensik ini tidak langsung memikirkan kesan dan perasaan keluarga terbabit lebih-lebih lagi perasaan keluarga si mati akibat laporan siasatan mereka di media sosial.

Pada masa sama, terdapat segelintir nitizen yang berada di tempat kejadian dan menyaksikan dengan mata kepala sendiri, walaupun bersungguh-sungguh menceritakan kejadian di media sosial tetapi enggan tampil membatu pihak polis.

Nitizen perlu sedar kesan laporan 

Nitizen patut sedar, laporan mereka mampu memberi pelbagai kesan kepada pembaca termasuk mengguris perasaaan dan trauma kepada keluarga pihak terbabit.

Malahan, lebih buruk lagi, gambaran yang salah juga boleh mengheret kepada ketegangan antara kaum. Adakah ini yang dimahukan golongan ini?

Dalam sebuah negara yang harmoni dengan masyarakat berbilang kaum ini, kita tidak memerlukan kehadiran ‘Detektif Conan’, ‘wartawan jenayah’ dan ‘penyiasat forensik’ tidak bertauliah dan tidak bergaji ini.

Cukuplah kita ada polis yang mampu menjalankan tugas dengan cekap menyelesaikan kes seperti ini.


Pengarang :