Dato’ Menteri Besar menerima tabik hormat daripada Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (KOR SISPA) pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan kadet berkenaan, di Padang Kawad Universiti Putra Malaysia (UPM).18 Ogos 2019.Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA

Anggota APM miliki keupayaan lindungi ancaman peperangan moden

SERDANG, 18 OGOS: Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memiliki keupayaan tersendiri dalam melindungi rakyat daripada sebarang bentuk ancaman, terutama ketika negara diancam peperangan moden.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, badan sukarelawan itu antara salah satu agensi awam kerajaan yang berfungsi ketika menghadapi situasi darurat dan peperangan, selain peranan seperti sekarang semasa aman.

Katanya, walaupun bukan untuk bertempur atau berperang dengan menggunakan senjata api, namun tugas itu bukan mudah kerana perlu berdepan kesukaran menduga situasi peperangan masa kini.

“Ia meliputi keupayaan halimunan senjata pemusnah teknologi, ketepatan mencari sasaran terpilih, selain keluasan sasaran yang terkesan dengan teknologi kemusnahan ekstrem.

“Walaupun bukan tanggungjawab untuk menghadapinya, memadai sekiranya mempunyai pengetahuan berkaitan dan menjangkakan perancangan yang boleh dibuat jika ia benar-benar berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pegawai Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (KOR SISPA) Kali Ke-10 2019, di Padang Kawad Universiti Putra Malaysia, di sini hari ini.

Perbarisan keluar padang selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kor Siswa Siswi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), di Padang Kawad Unversiti Putra Malaysia (UPM).18 Ogos 2019. REMYARIFIN/SELANGORKINI

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya APM Malaysia, Dato’ Roslan Wahab; Penolong Pesuruhjaya Kehormat merangkap Komandan Kor Sispa UPM, Prof Dr Zulkifli Idrus dan Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dato’ Dr Aini Ideris.

Pada masa sama, Amirudin berkata, walaupun tidak bermusuh dengan sesiapa, persediaan semasa aman sudah tentu memberi manfaat untuk digunakan jika sesuatu di luar jangkaan berlaku.

“Ini kelebihan dimiliki APM yang tidak ada pada orang lain kerana kemahiran pertahanan awam itu sendiri menjadi sendi utama kepada keupayaan bertindakbalas pada ketika diperlukan berbanding mereka yang di luar sana.

“Pengajian akademik dalam bidang berkaitan mampu sedikit sebanyak memberi input dalam merangka pelan pembangunan fasiliti keselamatan terbaik kepada rakyat,” katanya.


Pengarang :