Keadaan seorang lelaki Mexico yang ditumbuhi bulu tebal disyaki kesan meminum susu formula tercemar. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Angkara susu tercemar, 16 budak jadi `serigala jadian’

MADRID 29 OGOS: Seramai 16 orang kanak-kanak didakwa mengalami simptom penyakit ganjil dikenali sebagai `sindrom serigala jadian’ selepas mengambil susu formula tercemar di Sepanyol.

Portal Mail Online melaporkan, kanak-kanak berkenaan mengalami sindrom `hypertrichosis’, penyakit yang menjadikan hampir keseluruhan badan mereka dipenuhi bulu tebal, selepas diberi susu formula yang mengandungi minoxidil, bahan untuk merawat alopesia atau keguguran rambut kritikal.

Berikutan itu, lapor portal itu, Agensi Perubatan dan Produk Kesihatan Sepanyol mengarahkan beberapa produk keluaran Farma-Quimica Sur SL, sebuah syarikat farmaseutikal yang berpangkalan di Malaga, ditarik balik pada 11 Julai lalu.

Kanak-kanak tersebut juga diberikan susu formula mengandungi ‘omeprazole’ yang digunakan untuk merawat masalah asid dan penghadaman.

Ibu bapa telah dinasihatkan supaya mendapatkan bantuan perubatan jika anak-anak mereka diberikan susu formula tersebut dan diminta untuk menyemak dengan farmasi jika membeli produk yang terjejas.

Agensi Perubatan dan Produk Kesihatan Sepanyol bertindak menarik semula kumpulan pertama produk itu dari pasaran pada bulan lalu, setelah 13 kes dilaporkan.

Tiga lagi kes dilaporkan berlaku pada awal bulan ini, dan satu lagi kumpulan produk keluaran Farma-Quimica Sur S juga ditarik balik dari farmasi.

Pegawai kerajaan percaya, pencemaran itu menjejaskan hampir 30 farmasi dan lebih 50 kumpulan ubat.


Pengarang :