Mohd Zawawi Ahmad Mughni menikahkan pasangan pengantin pada Perasmian Program “Aqdun Mubarak 2019” Zon Petaling, Gombak, Hulu Selangor anjuran JAIS di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati Gombak pada 31 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Aqdun Mubarak ceriakan sambutan kemerdekaan 35 pengantin

GOMBAK, 31 OGOS: Sambutan Kemerdekaan kali ke-62 menjadi detik penuh bermakna buat 35 pasangan pengantin baharu apabila selamat dinikahkan pada majlis Aqdun Mubarak di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati di sini, hari ini.

Dengan tema ‘Memeterai Kontrak Keberkatan Ilahi’, semua peserta Zon 1 itu terdiri daripada pasangan dari daerah Gombak, Petaling dan Hulu Selangor.

Majlis perasmian disempurnakan Pembantu EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang mewakili Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Mohd Zawawi dalam ucapannya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memudahkan pasangan pengantin mendirikan rumah tangga.

Katanya, ia juga dapat menjauhkan diri daripada melakukan perkara bertentangan dengan ajaran Islam.

“Saya melihat program ini amat baik kerana dapat membantu dan memudahkan masyarakat yang kurang berkemampuan.

“Ini satu pendekatan teladan yang boleh mendidik masyarakat untuk melaksanakan konsep keutamaan dalam Islam sebenar,” katanya.

Mohs Zawawi Ahmad Mughni bersama 35 pasangan pengantin pada majlis Perasmian Program “Aqdun Mubarak 2019” Zon Petaling, Gombak, Hulu Selangor anjuran JAIS di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati Gombak pada 31 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Aqdun Mubarak anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama Masjid Al-Hidayah buat pertama kali tahun ini dan terbahagi kepada tiga zon.

Program sama akan dijalankan di dua zon lain iaitu di Masjid Puncak Alam dan Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya.

Setiap pasangan hanya perlu membayar RM1,000 untuk menyertai Aqdun Mubarak dengan syarat pasangan berpendapatan RM1,500 ke bawah.

Program ini turut mendidik masyarakat khususnya ibu bapa supaya memudahkan urusan perkahwinan anak mereka dengan menekankan konsep keutamaan dalam Islam.


Pengarang :