Datuk Saifuddin Abdullah (dua, kanan) ketika menghadiri Mesyuarat Menteri ASEAN-Jepun bersempena AMM ke-52. -Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMAGLOBAL

ASEAN bimbang terlalu banyak kapal perang di Laut China Selatan

BANGKOK, 3 OGOS: Negara-negara ASEAN melahirkan kebimbangan mengenai ketegangan yang semakin memuncak akibat kehadiran terlalu banyak kapal perang di Laut China Selatan, kata Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah.

“Kita perlu mengurangkan kehadiran kapal perang di perairan yang menjadi medan pertikaian demi menjamin keamanan dan kestabilan, keselamatan dan kebebasan pelayaran di Laut China Selatan.

“Ia adalah laluan bebas tetapi apabila ada terlalu banyak kapal, kami bimbang,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Saifuddin mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-menteri luar ASEAN ke-52/Pasca Persidangan Menteri dan Mesyuarat Berkaitan (AMM/PMC ke-52) di sini, yang berakhir hari ini.

Beliau berkata, menteri luar ASEAN yang terdiri daripada 10 negara anggota menekankan tentang pentingnya menghormati prinsip “non-militarisation di Laut China Selatan.

Menurut beliau, mereka juga bertukar pandangan mengenai Laut China Selatan di pelbagai platform semasa AMM dan PMC serta dengan rakan dialog semasa Forum Serantau ASEAN (ARF) dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).

Ketegangan memuncak di kawasan yang menjadi medan pertikaian di Laut China Selatan itu apabila China menjalankan ujian peluru berpandu balistik anti kapal di kawasan itu bulan lepas manakala Vietnam menuduh China mencabuli kedaulatannya dengan campurtangtan dalam aktiviti minyak dan gas di kawasan luar pesisirnya.

Pada Jun, sebuah bot nelayan Filipina – dipercayai membawa sejumlah besar minyak dan gas asli – tenggelam selepas ia dilanggar oleh sebuah kapal China.

Pada Rabu, Menteri Luar China Wang Yi berkata, ASEAN dan Beijing telah menyelesaikan pembacaan pertama draf teks tunggal rundingan bagi kod tatalaku (CoC).

Saifuddin juga berkata, aktiviti navigasi perlu dikurangkan di kawasan Laut China Selatan yang menyaksikan tuntutan bertindih.

“Semasa kita membincangkan CoC, terdapat juga aktiviti lain yang berlaku di satu atau dua pulau (dipertikaikan) di Laut China Selatan,” katanya.

Mengenai AMM/PMC ke-52, Saifuddin berkata Malaysia telah mengemukakan kepentingan dan pndangannya mengenai perkara-perkara berkaitan isu-isu serantau dan antarabangsa demi kebimbangan bersama.

“Kami mengadakan perbincangan yang baik. ASEAN adalah platform penting untuk bersuara dan membincangkan mengenai keamanan dunia dan perdagangan antarabangsa, “kata beliau.

“Sekiranya ada tempat-tempat yang dituntut mana-mana negara, maka kita jangan menambah aktiviti di tempat sama yang boleh menimbulkan tanda tanya,” katanya.

Saifuddin juga mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya di luar AMM/PMC ke-52 untuk membincangkan isu-isu hubungan dua hala, kerjasama serantau, Laut China Selatan, keadaan di negeri Rakhine serta keselamatan serantau.

– BERNAMA


Pengarang :