C Sree Abiraame bersama bapanya, B. Chendren menunjukan replika cek tajaan ketika Majlis Penyerahan Tajaan Pihak Swasta Kepada Atlet Luncur Ais Negeri Selangor di Majlis Sukan Negeri Selangor, Shah Alam pada 23 Ogos 2019.- Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Atlet luncur ais Selangor terima tajaan RM800,000

SHAH ALAM, 23 OGOS: Persediaan atlet luncur ais Selangor, C Sree Abiramee untuk beraksi di Sukan Olimpik Musim Sejuk Milan, Itali 2026 mendapat perhatian pihak swasta apabila Yayasan OMS sudi memberikan tajaan berjumlah RM800,000.

Tajaan untuk tempoh tujuh tahun ini akan membantu Sree mengharungi peringkat saringan selama dua minggu bermula 16 September ini di International Figure Skating School ‘Marupes Ledus Skola’, Rusia.

Atlet berusia lapan tahun berkenaan perlu menamatkan saingan dalam tempoh 72 jam dan jika layak beliau akan meneruskan latihan di Rusia selama lima tahun.

Pengarah Eksekutif MSN Selangor, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, kejayaan atlet muda ini membuktikan usia bukan penghalang untuk melakar kejayaan pada peringkat antarabangsa.

“Dengan usaha dan komitmen yang tinggi, Sree adalah bintang baharu yang mampu menjadi pewaris kejayaan Negeri Selangor dan secara tidak langsung nama Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Tajaan Pihak Swasta Kepada Atlet Luncur Ais Negeri Selangor dan Pelancaran Projek Kilauan Emas Temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk Milan, Itali 2026 di Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

Adi Faizal berkata, anggaran kos keseluruhan yang diperlukan sepanjang tujuh tahun itu sekitar RM2.7 juta dan beliau berharap lebih banyak pihak swasta akan tampil menghulurkan sumbangan demi merealisasikan hasrat negara mengutip pingat emas pertama di Sukan Olimpik.

Selain Yayasan OMS, pihak Tamil Malar Daily dan HYO Port Klang turut tampil sebagai penaja kepada Sree.

Sekolah Antarabangsa Kingsley dan Kolej Kingsley pula turut berbesar hati memberikan biasiswa penuh kepada Sree Abriaame meneruskan pengajian sehingga ke peringkat ijazah.

Pada usia muda, Sree sudah menerima dua anugerah Malaysia Book Of Record (MBOR) iaitu Atlet Luncur Ais Berirama paling muda pernah memenangi pingat emas di peringkat antarabangsa pada usia lima tahun lapan bulan dan Atlet Luncur Ais Berirama paling muda memenangi 21 pingat di peringkat antarabangsa dalam tempoh 254 hari pada usia tujuh tahun tujuh bulan.

Sree turut menerima anugerah Asia Book Of Records (ABOR) sebagai atlet paling muda memenangi 28 pingat di peringkat Asia dalam tempoh 334 hari pada usia tujuh tahun tujuh bulan.

Bagi bapa Sree, B Chendren, bakat yang dimiliki anaknya itu mula dikesan sejak kecil apabila mereka sekeluarga bercuti di Sweden.

Katanya, Sree telah mewakili Kelab Sunway Piramid Ice Rink dalam setiap pertandingan dan berada di bawah naungan Institute Skating Asia.

“Ketika kami bercuti di Sweden, Sree suka bermain salji dan minatnya itu berterusan sehingga kami pulang di Malaysia.

“Kami selalu membawa Sree bermain sukan luncur ais di pusat beli-belah dan sejak itu saya dan isteri memberikan sokongan kepadanya.

“Kami berbangga dengan kejayaan Sree dan akan terus memberikan sokongan,” katanya.


Pengarang :