Timbalan Pengarah PERKESO negeri, Mohammad Ramli Ahmad Dahalan menyerahkan bantuan kepada Suzanah Selanat di rumahnya 13 Ogos 2019.
AGENDANASIONAL

Balu lelaki terkena renjatan elektrik terima pencen penakat

SHAH ALAM, 13 OGOS: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor menyampaikan faedah Skim Keilatan (pencen penakat) kepada balu mangsa Mohd Radzi Abdul Aziz yang meninggal terkena renjatan elektrik di Sungai Buloh, baru-baru ini.

Dalam kenyataan kepada SelangorKini, PERKESO Selangor memaklumkan, pihaknya turut menyerahkan bantuan faedah pengurusan bayat sebanyak RM2,000.

“Allahyarham maut selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba menyelamatkan seorang perempuan yang dihempap tangga separa siap di rumah teres dua tingga pada 21 Julai lalu.

“Bagaimanapun, beliau bersama tiga lagi mangsa terbunuh dalam kejadian kira-kira jam 1.00 petang itu.

“Rentetan berita yang disiarkan melalui media massa serta media sosial tentang kes kemalangan ini, pihak Skuad PERKESO Prihatin Petaling Jaya melakukan siasatan dan semakan kelayakan dibawah skim PERKESO,” katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Suzanah Selanat bersama tiga anak yang masih kecil. Balu merupakan seorang suri rumah tangga sepenuh masa.

Sementara itu, Suzanah berkata, ketika hari kejadian, arwah suaminya sedang membersihkan kawasan halaman rumah dengan secara tiba-tiba terdengar dentuman dan jeritan orang untuk meminta pertolongan.

Justeru, katanya, arwah bertindak ke kawasan kejadian dengan segera untuk menyelamatkan mangsa itu.

“Namun, tindakannya itu tidak bernasib baik dan berakhir dengan tragis, renjatan eletrik berlaku,” katanya.

Suzanah juga tidak menyangkakan status yang dimuat naik oleh arwah di facebooknya iaitu “sekiranya ayah tiada lagi, selalulah berdoa untuknya” adalah tanda sebelum menghembuskan nafasnya terakhir.

Penyampaian cek disampaikan oleh Timbalan Pengarah PERKESO negeri, Mohammad Ramli Ahmad Dahalan.

Selain itu, balu dan anak-anak arwah Mohd Radzi juga menerima pencen penakat secara bulanan.

Skuad PERKESO Prihatin yang ditubuhkan pada September 2015 adalah bagi memantau kes kemalangan yang disiarkan di media massa membabitkan individu yang mencarum dengan PERKESO.


Pengarang :