Siti Nurhaliza Tarudin menyertai acara sambutan Hari Kebangsaan ke-62 peringkat bank berkenaan di Kuala Lumpur pada 29 Ogos 2019. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Bank Muamalat sambut Merdeka bersama Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Bank Muamalat Malaysia Berhad melakukan kejutan apabila menjemput penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin untuk menyertai acara sambutan Hari Kebangsaan ke-62 peringkat bank berkenaan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, beliau amat berbesar hati apabila penghibur itu sudi hadir pada acara yang diadakan bukan sahaja untuk meraikan Hari Kebangsaan tetapi juga 20 tahun penubuhan Bank Muamalat.

“Begitu ramai orang yang hadir untuk sambutan Merdeka kami. Kita perlu menunjukkan bahawa negara kita berada dalam keadaan harmoni dan aman. Kita perlu mengakui bahawa banyak perkara telah dilakukan untuk menjadikan Malaysia negara yang dicintai, ” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Bank Muamalat, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid.

Dalam acara yang berlangsung di pekarangan ibu pejabat bank itu di sini, kakitangan Bank Muamalat dilihat begitu teruja apabila Siti Nurhaliza menyanyikan lagu Negaraku dan Jalur Gemilang diiringi kumpulan koir institusi perbankan itu.

Dalam pada itu, Siti Nurhaliza menghargai jemputan daripada Bank Muamalat dan menganggap pengalaman menyanyi bersama sebuah koir badan perbankan Islam sebagai sangat bermakna.

Pada masa sama, beliau berharap rakyat Malaysia menghargai keamanan dan kemakmuran yang dikecapi negara walaupun berbilang kaum, agama dan bangsa.

“Kita perlu saling menghormati antara semua masyarakat kerana kuatnya negara itu apabila rakyatnya bersatu padu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :