SELANGOR

Bantah tulisan khat disifatkan sebagai dangkal

SHAH ALAM, 1 OGOS: Sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Selangor menyifatkan pihak yang membantah usaha pengenalan tulisan ‘khat’ atau seni kaligrafi dalam buku teks sekolah sebagai dangkal dalam memahami sejarah dan keistimewaan tulisan itu.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda ARMADAnya, Adhif Syan Abdullah berkata, pihaknya yakin stigma ke atas tulisan jawi berasal daripada salah sangka tulisan jawi adalah sebahagian daripada Islam kerana huruf dan tulisannya berasal daripada huruf al-Quran.

“Benar bahawa Malaysia meraikan kepelbagaian kaum dan agama, namun jangan pula ada pihak menyamakan kaligrafi Cina atau Tamil sebagai setaraf dengan tulisan jawi di Malaysia sedangkan tulisan berkenaan dipulihara serta diangkat martabatnya di negara asal tulisan terbabit.

“Malah, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 secara jelas menyebut jawi adalah tulisan bagi bahasa kebangsaan di samping tulisan rumi.

“Tulisan jawi turut dicetak di wang kertas dan syiling negara, jata negara serta jata negeri-negeri tertentu termasuk semua Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, kumpulan pendesak Cina, Dong Zong dan Jiao Zong bersama pimpinan akar umbi DAP termasuk 13 anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) mendesak pemimpin parti itu yang ada dalam kerajaan supaya membantah penambahan seni khat dalam kurikulum Tahun 5 Bahasa Malaysia di sekolah.

Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan terbabit menarik perhatian bahawa pelajar sekolah vernakular sudah mempelajari ‘tiga bahasa dan tiga sistem penulisan’ dan ia sudah mencukupi.

Mengulas lanjut, Adhif berkata, mengembalikan keagungan tulisan jawi perlu dianggap sebagai satu tugas nasional kerana ia milik semua.


Pengarang :