Penunjuk perasaan berbaring di lapangan terbang antarabangsa Hong Kong pada 13 Ogos 2019 sebagai meneruskan bantahan, sehari selepas ia ditutup kerana protes pro-demokrasi. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Bantahan jejas ekonomi Hong Kong

SHAH ALAM, 13 OGOS: Gelombang bantahan besar-besaran di Hong Kong yang berlarutan sejak 10 minggu mula membawa kesan ekonomi kepada wilayah China itu.

Hartawan Peter Woo, pemegang saham terbesar pemaju Wheelock & Co yang rugi lebih US$1 bilion (RM4.2 bilion), menyeru kepada penunjuk perasaan agar bertenang, lapor Bloomberg.

Beliau mengingatkan mereka, yang kini membangkitkan isu keganasan polis ketika meleraikan demonstrasi, bahawa tuntutan asal berhubung undang-undang ekstradisi sudah dipenuhi.

Sebuah lagi syarikat pemaju wilayah itu, Sun Hung Kai Properties Ltd yang dikuasai keluarga terkaya turut mengecam keganasan demonstrasi tersebut.

Dua pemaju ini bersuara di saat penunjuk perasaan mula mengganggu lapangan terbang sehingga mengendalakan penerbangan pada semalam dan awal hari ini.

“Sudah tiba masanya untuk berfikir secara mendalam,” kata Woo, dengan menambah ada anasir yang “sengaja membuat kacau”.

Minggu lepas, Persatuan Pemaju Hartanah Hong Kong mengeluar kenyataan mengecam keganasan dan menyeru kepada keamanan.

Demonstrasi itu berlanjutan susulan apabila kerajaan didakwa tidak mengendahkan desakan untuk menubuhkan siasatan khas isu keganasan polis dan membebaskan tahanan.


Pengarang :