Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bantu siasatan SPRM, bukan kena siasat – KSU MOTAC

PUTRAJAYA, 8 OGOS: Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Datuk Isham Ishak hari ini berkata, beliau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan dan bukannya untuk disiasat.

Katanya, selaku pegawai pengawal kementerian, beliau dipanggil bagi memperjelaskan berkenaan prosedur kementerian serta perkara-perkara yang berlaku di kementerian itu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan siasatan itu berhubung kes apa kerana tidak mahu mengganggu siasatan pihak berkuasa.

“Memang benar saya dipanggil SPRM semalam dan ia adalah kali kedua selepas kelmarin (Rabu lepas). Peranan saya hanya membantu siasatan, bukannya disiasat…ia dua perkara berbeza.

“Saya sudah berikan maklumat yang diperlukan bersama dokumen tertentu tetapi bagi menghormati proses siasatan, saya tidak boleh jelaskan ia berkaitan kes apa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Isham berkata, beliau perlu menjelaskan kedudukan sebenar bagi membersihkan namanya, keluarga serta kementerian kerana terdapat dakwaan kononnya beliau terlibat dalam salah laku sehingga disiasat SPRM.

Isham berkata, pegawai SPRM menjalankan sesi tersebut dengan penuh profesional, malah membenarkan beliau untuk pulang ke pejabat serta mempengerusikan mesyuarat.

Katanya, ini kali pertama beliau dipanggil membantu siasatan SPRM sejak berkhidmat dalam perkhidmatan awam dan dalam kes berkaitan Motac, tidak banyak yang dapat beliau lakukan kerana baru dilantik ke jawatan itu pada Februari lepas.

“Antara lain saya turut menjelaskan mengenai langkah-langkah yang sudah diambil bagi memastikan perkara berkaitan salah laku tidak berlaku lagi di kementerian,” katanya.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi mengesahkan Isham dipanggil SPRM tetapi tidak mendedahkan tindakan itu untuk siasatan berkaitan salah laku rasuah atau perkara lain.

Dalam pada itu, Isham berkata, beliau akan membuat laporan polis terhadap portal sabahkinidua.com kerana mendedahkan dokumen berkaitan kementerian yang dikategorikan sebagai sulit.

Beliau berkata, selain tidak berasas, perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh mengakibatkan gangguan kepada pentadbiran negara.

Isham berkata, beliau sedang mengumpulkan maklumat dan dokumen lanjut berkaitan fitnah yang mula dikesan disebarkan sejak bulan lepas sebelum diikuti dengan laporan polis.

-BERNAMA


Pengarang :