AGENDANASIONAL

Bekas pegawai bank tolak tawaran kerja di 1MDB

KUALA LUMPUR, 1 OGOS : Seorang bekas pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau enggan menerima tawaran kerja bergaji lumayan di 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, pada November 2013 kerana dia tidak mahu bekerja dengan ahli perniagaan itu.

Joanna Yu Ging Ping, 48, bekas pengurus perhubungan AmBank mendedahkan perkara ini semasa pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh di hari ke-47 perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Najib, 66, sedang menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Harvinderjit: Adakah dia menawarkan kerja kepada anda dengan gaji RM60,000 sebulan di 1MDB?

Yu: Ya, tapi saya tidak mahu bekerja dengan dia.

Terdahulu, Harvinderjit membacakan transkrip perbualan antara Yu dan Jho Low pada 24 Nov 2013.

Jho Low: Tahukan anda sesiapa yang boleh dipercayai yang boleh diambil bekerja sebagai ketua pegawai kewangan bagi SRC (International Sdn Bhd)? Bekerja dengan SRC.

Yu: Jika ada sesiapa, saya akan beritahu anda.

Jho Low: Okay, terima kasih. Boleh saya ambil Daniel juga?

Harvinderjit kemudian bertanya saksi sekiranya kenyataan Jho Low itu merujuk kepada Daniel Lee, anggota pasukannya, dan Yu menjawab “Ya, Saya rasa begitulah… sebenarnya Jho Low hendak ambil kami semua untuk bekerja dengannya, tapi kami tidak mahu.

Mahkamah kemudiannya mendengar bahawa Jho Low mungkin mengawal transaksi perbankan SRC.

Menjawab satu soalan lain, Yu bersetuju bahawa bekas pengarah SRC Terence Geh adalah orang bawahan kepada Jho Low dalam transaksi SRC.

Harvinderjit: Sepanjang 2011 sehingga 2015, adakah anda sedar mengenai sebarang isu yang didakwa oleh penanda tangan bahawa mereka tidak menandatangani sebarang transaksi? Yu menjawab “Tidak”.

Pada satu ketika Harvinderjit mula meninggikan suara terhadap saksi dan berkata Yu berpura-pura tidak tahu dan bersikap mengelak.

Bagaimanapun pendakwa ad hoc Datuk V.Sithambaram berdiri dan membantah cara pertanyaan Harvinderjit yang didakwanya sering memotong cakap Yu sebelum saksi itu menamatkan jawapannya.

“Biar dia habiskan jawapannya, dia sedang cuba untuk memberi penjelasan,” kata Sithambaram.

Harvinderjit menjawab Yu bukannya memberi penjelasan, tapi berpura-pura tidak tahu dan cuba mengelak.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar kes itu mencelah dan meminta supaya saksi meneruskan jawapannya.

Terdahulu Harvinderjit bertanya Yu mengenai dokumen-dokumen AmBank yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) .

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung. -BERNAMA


Pengarang :