Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (dua,dari kiri) bersama kakitangan Hospital Kuala Lumpur turut memberi penghormatan terakhir kepada S. Jeyaindran yang meninggal dunia akibat serangan jantung di kediamanya di Taman Kent 1, Jalan Maktab pada 19 Ogos 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Pemergian bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Jeyaindran yang meninggal dunia awal pagi ini akibat serangan jantung disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat sektor kesihatan negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mendiang seorang yang sangat mengambil berat tentang kebajikan pekerja dan berani menyuarakan pandangan bagi memastikan sistem perkhidmatan kesihatan negara terus berkembang maju.

“Interaksi saya bersama kakitangan yang pernah berkhidmat dengan mendiang mendapati, mendiang seorang yang tegas dalam urusan kerja tetapi seorang yang sangat mudah didekati dan sentiasa menghargai pandangan yang diberikan oleh setiap warga kerja tanpa mengira gred dan jawatan.

“Mendiang juga adalah antara peneraju dalam usaha untuk merapatkan hubungan kerjasama antara sektor awam dan swasta serta pemegang taruh yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulkefly, yang mewakili seluruh warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada isteri mendiang, Datin Seri R. Sunita serta keluarga atas kehilangan insan tersayang.

“Sememangnya, jasa dan bakti mendiang kepada KKM tidak akan dilupakan. Saya akan sentiasa mengingati mesej beliau kepada seluruh warga kerja KKM, ‘Always facilitate, don’t frustrate’.

“Satu mesej yang begitu bermakna dan sentiasa releven dalam membawa perubahan terhadap penyampaian perkhidmatan kesihatan amnya. Terima kasih Dr Jeya. Anda akan sentiasa berada di dalam ingatan kami,” katanya.

Dr Jeyaindran, 64, meninggal dunia awal pagi ini di Hospital Kuala Lumpur, selepas mendapat serangan jantung sekitar 1.00 pagi di kediamannya, Jalan Maktab, dekat sini.

Dr Jeyaindran bersara pada 31 Mei tahun lepas selepas 38 tahun berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan termasuk sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) dari Mac 2013 hingga Mei 2018 dan Pakar Perunding Kanan di HKL.

– BERNAMA


Pengarang :