Guan Eng berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Percukaian Kebangsaan 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Belanjawan 2020: Tiada langkah pencukaian baharu

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Tiada langkah pencukaian baharu dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan nanti, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Belanjawan 2020 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 11 Oktober ini.

“Tidak mungkin ada sebarang langkah pencukaian baharu dilaksanakan (dalam Belanjawan 2020),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan (NTC) 2019, yang dianjurkan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Institut Cukai Berkanun Malaysia dengan tema ‘Kemakmuran Ekonomi dan Percukaian’ di sini.

Berhubung langkah China yang membenarkan mata wangnya, renminbi, susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan krisis perdagangan dengan AS, Guan Eng berkata keadaan itu turut akan menjejaskan Malaysia.

“Pastinya, akan wujud beberapa kesan, kerana anda tidak boleh menafikan bahawa langkah yang diambil oleh satu daripada rakan dagang utama kita akan memberi kesan limpahan ke atas Malaysia, tidak kira sama ada AS atau China. China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia.

“Keadaan ini mendorong kita memperkenalkan langkah luar jangka dalam belanjawan kita nanti, yang mengambil kira kemelut perdagangan itu yang semakin memuncak atau bertambah buruk.

“Sudah tentu akan ada pakej luar jangka untuk cuba seberapa banyak yang boleh bagi melindungi Malaysia daripada sebarang kesan buruk pertikaian perdagangan terbabit,” katanya.

Beliau berkata Malaysia akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat walaupun ada pihak yang berpandangan bahawa pertikaian itu dapat diselesaikan menjelang akhir tahun ini,

“Kita perlu tunggu dan lihat (penyelesaian pertikaian perdagangan AS-China). Saya berpandangan sudah tentu kita memerlukan beberapa rancangan luar jangka,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan, Guan Eng berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia menunjukkan pencapaian baik seiring sasaran, berdasarkan prestasi ekonomi semasa.

Bagaimanapun beliau yang juga setiausah agung DAP berkata, untuk negara berada di kedudukan semasa, ia memerlukan kestabilan politik.

“Sebenarnya keadaan politik Malaysia adalah stabil dan tidak harus berlaku apa-apa ketidaktentuan politik, kerana kita adalah kerajaan yang memenuhi janji dan ini pun diulangi berkali-kali oleh Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) bahawa beliau ialah seorang yang menepati janji.

“Begitu juga kerajaan Pakatan Harapan kita pun akan berusaha melaksanakan janji-janji yang kita telah umumkan,” katanya.

Guan Eng mengulangi bahawa ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan walaupun berdepan cabaran luaran yang sukar berpunca daripada kemelut perdagangan AS-China malah Bank Dunia menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia merekodkan 4.6 peratus tahun ini.

-BERNAMA


Pengarang :