EXCOSELANGOR

Bersama gotong-royong bersihkan Kampung Bagan Hailam

PELABUHAN KLANG, 24 OGOS: Lebih 100 penduduk bersama kakitangan KDEB Waste Management (KDEBWM), Majlis Perbandaran Klang dan agensi kerajaan bergotong-royong membersihkan penempatan kampung atas air Kampung Bagan Hailam, di sini.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, agensi itu menyatakan kesediaan untuk menyertai aktiviti itu secara bersama.

Katanya, gotong-royong itu bertujuan membersihkan kampung dan kediaman penduduk kampung berkenaan yang sebelum ini dipenuhi sampah sarap.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han turut mengambil bahagian bergotong-royong bersama penduduk sempena Program Breath New Life To Bangan Hailam, Pelabuhan Klang.24 Ogos 2019.Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

“Kali pertama saya datang ke sini pada Januari tahun ini. Penduduk di sini sangat mesra, makanan sedap namun persekitarannya sangat kotor.

“Keindahan dan keunikan di sini malangnya ditutupi sampah sarap. Ini merupakan cabaran utama namun, ia tidak mustahil untuk direalisasikan.

“Justeru, Kerajaan Negeri mengambil langkah mengadakan gotong-royong besar-besaran itu supaya penduduk kampung ini hidup dalam persekitaran baharu yang lebih bersih selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui di Majlis Pelancaran Program ‘Breath New Life To Bagan Hailam, di Kampung Bagan Hailam, di sini.

Sze Han berkata, gotong-royong bukan sahaja menyemai semangat kerjasama tetapi mengukuhkan persaudaraan dan semangat kekitaan agensi kerajaan dan penduduk setempat.

Penduduk tempatan bersama pekerja KDEB bergotong-royong sempena Program Breath New Life To Bangan Hailam, Pelabuhan Klang.24 Ogos 2019.Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

“Kita lihat semua yang hadir berganding bahu mengindahkan kawasan persekitaran membersihkan kediaman bagi me­wujudkan suasana positif dan selamat.

“Selain itu, secara tidak langsung dapat mewujudkan hubu­ngan sosial yang baik dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan usia,” katanya.

Program terbabit bermula seawal 8.30 pagi hingga pukul 12 tengah hari.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri Pendamaran, Tony Leong.


Pengarang :