Perodua Bezza versi baharu sedan dibuka untuk tempahan. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Bezza kereta paling laris di Sri Lanka

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Perodua Bezza muncul kereta sub-1.0 liter sedan baharu paling laris di Sri Lanka sepanjang tujuh bulan pertama 2019 selain model itu turut mengetuai kelas sub-1.0 liter jualan kereta baharu pelbagai model.

Dijual pada harga Rs3.69 juta (RM86,200) semasa pelancarannya pada Jun 2017, Perodua Bezza dimiliki kira-kira 1,500 pembeli Sri Lanka sehingga kini, meletakkannya antara model jualan paling laris yang pernah ditawarkan Perodua di sana, bersama kira-kira 3,000 unit Perodua Axia sejak 2015, katanya dalam kenyataan hari ini.

“Sri Lanka ialah pasaran luar negara terbesar Perodua, dengan pengedar tempatan Unimo Enterprises menjual lebih daripada 15,600 kereta Perodua sejak 1997,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua akan terus menyokong pengedar di luar negara memandangkan syarikat itu merancang untuk meluaskan pasaran ke Asia Pasifik.

“Kami bekerja rapat dengan Unimo bagi menyediakan pengetahuan mengenai produk serta latihan teknikal kepada kakitangan jualan dan perkhidmatan mereka. Justeru, pelanggan Sri Lanka yang kami hargai diberikan jaminan bahawa Bezza dan Axia mereka akan sentiasa dijaga dengan baik,” katanya.

Perodua mahu mengeksport 3,270 kereta tahun ini, 50 peratus lebih tinggi daripada 2,184 unit tahun lepas.

– BERNAMA


Pengarang :