Penasihat undang-undang UMNO Datuk Mohd Hafarizam Harun.
AGENDANASIONAL

Bicara kes pengubahan wang haram Hafarizam 22 Oktober

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan empat hari mulai 22 Oktober bagi perbicaraan kes Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang dituduh atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM15 juta daripada Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimasukkan ke dalam akaun firma guaman peguam itu.

Hakim Azman Ahmad menetapkan tarikh itu ketika sebutan kes berkenaan yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Ashrof Adrin Kamarul dan peguam, Datuk Hasnal Rezua Merican bertindak bagi pihak Mohd Hafarizam, 47, yang juga peguam yang banyak mewakili Najib dalam kes saman sivil bekas Perdana Menteri itu.

Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula pada 22 Oktober serta 11 hingga 13 November dan sebanyak 15 saksi dijangka dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Terdahulu, Hasnal Rezua memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan satu permohonan pada Jumaat hadapan bagi memperoleh butiran terperinci yang tidak terkandung dalam kertas pertuduhan.

“Yang Arif, pada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd minggu lepas, seorang saksi Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Husain, mendedahkan bahawa terdapat kemasukan dana RM642 juta daripada Kementerian Kewangan Riyadh (Arab Saudi) dan Putera Faisal Turki ke dalam akaun bank peribadi Najib,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu mempunyai kaitan dalam kes anak guamnya yang didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram menerusi cek milik Najib yang dimasukkan ke dalam akaun firma guaman Mohd Hafarizam.

“Jadi dengan relevannya fakta atau maklumat itu, kami akan memfailkan permohonan untuk mendapatkan butiran matan yang tidak terkandung dalam kertas pertuduhan… butiran seperti sumber cek yang diterima anak guam saya,” katanya.

Ashrof Adrin tidak membantah permohonan itu dan menyerahkannya kepada budi bicara mahkamah.

Hakim Azman menetapkan 23 September bagi mendengar permohonan berkenaan dan 3 Oktober untuk keputusan permohonan itu.

Pada 21 Februari lepas, Mohd Hafarizam mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Dia didakwa mendeposit dua keping cek daripada Najib berjumlah RM11.5 juta ke dalam akaun bank milik firma guamannya, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, antara 16 April and 4 November 2014.

Mohd Hafarizam juga dituduh mendeposit cek bernilai RM3.5 juta daripada Najib ke dalam akaun sama pada 12 Februari 2015.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan CIMB Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

– BERNAMA


Pengarang :