Selangorkini
BERITA UTAMA

Bicara kes rasuah RM1 juta Tengku Adnan pada 19 September

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan dua hari bermula 19 September ini bagi perbicaraan kes rasuah RM1 juta yang dihadapi bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes berkenaan hari ini yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim dan peguam Datuk Tan Hock Chuan, yang mewakili Tengku Adnan dan Faisal Moideen bertindak bagi pihak Tan.

Hakim Mohd Nazlan mengarahkan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen tambahan berhubung kes itu kepada pihak pembelaan sebelum atau pada Rabu ini (28 Ogos).

Terdahulu, Julia memberitahu mahkamah bahawa beberapa dokumen tambahan membabitkan minit mesyuarat telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

“Pembelaan memerlukan lebih masa untuk meneliti dokumen-dokumen tersebut,” katanya.

Sementara itu, Julia ketika ditemui pemberita memaklumkan bahawa buat masa ini mahkamah hanya menetapkan dua tarikh bagi perbicaraan kes itu, namun tarikh bicara berikutnya akan ditetapkan kemudian.

Pada 9 Ogos lepas, Hakim Mohd Nazlan membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes rasuah melibatkan Tan dan Tengku Adnan dibicarakan bersama.

Pada 15 November lepas, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan, iaitu wang berjumlah RM1 juta, daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Perbuatan itu dilakukan sebagai upah untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur, pada 27 Disember 2013.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Pada tarikh sama, Tan, yang merupakan pengarah sebuah syarikat pembangunan hartanah, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberi suapan kepada Tengku Adnan iaitu wang berjumlah RM1 juta melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank Tengku Adnan.

– BERNAMA


Pengarang :