AGENDANASIONAL

Bomba sasar atasi kebakaran hutan sebelum sesi sekolah bermula

KUCHING, 15 OGOS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menyasarkan untuk mengatasi masalah kebakaran hutan di negeri ini sebelum sesi persekolahan dibuka semula Isnin depan.

Pengarahnya, Khirudin Drahman berkata, beliau sudah mengarahkan pasukannya untuk berusaha sepenuhnya supaya kebakaran hutan dapat dikawal sebelum akhir minggu ini.

“Pasukan Bomba Sarawak juga menukar shif kerja daripada 12 jam kepada 24 jam untuk memastikan keanggotaan cukup.

“Maknanya, jika dalam sehari, kita mempunyai 20 petugas yang bekerja satu shif, selepas menukar shif ke 24 jam, akan ada lebihan, iaitu 35 petugas yang akan bekerja dalam sehari bagi menangani kebakaran yang berlaku,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Ekosistem Kondusif Sektor Awam untuk seluruh Sarawak dan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif peringkat negeri di Pustaka Negeri, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada hari ini juga pesawat Bombardier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tiba di Miri untuk bantuan pemadaman api di kawasan yang terbabit.

“Dengan bantuan daripada pesawat Bombardier itu, kami berharap kebakaran di Sarawak dapat diatasi sebelum sesi persekolahan dibuka kembali pada Isnin ini.

“Pada hari ini juga status kebakaran hutan di Miri agak berkurangan kerana terdapat hujan semalam dan begitu juga di Sibu, diberitakan sedang hujan lebat, sekali gus membantu mengurangkan kebakaran,” katanya.

Sementara itu, Khirudin juga memberi peringatan kepada yang mereka yang melakukan sabotaj kebakaran hutan untuk tidak melakukannya lagi kerana tindakan tegas bakal diambil.

“Mereka bukan sahaja mencemarkan alam sekitar tetapi turut menjejaskan kehidupan orang awam di kawasan sekitar, tambahan keadaan jerebu yang mengakibatkan cuaca lebih panas.

“Kami berharap bantuan orang awam untuk menyalurkan maklumat jika mereka melihat aktiviti mencurigakan berlaku di kawasan mereka untuk segera melaporkan kepada polis, jabatan bomba atau Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk tindakan awal,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :