AGENDANASIONAL

Bot bocor: Maritim Malaysia selamatkan 75 pendatang asing

PELABUHAN KLANG, 6 OGOS: Maritim Malaysia hari ini menyelamatkan 75 pendatang asing dari Indonesia daripada lemas apabila bot kayu dinaiki mereka bocor di bahagian enjin pada kedudukan 2.8 batu nautika dari Sungai Kurau, dekat sini awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, bot kayu berukuran 8.8 meter panjang yang membawa pendatang asing itu dipercayai berlepas dari Sungai Air Hitam dekat Pulau Carey kira-kira pukul 5 pagi menuju Tanjung Balai, Indonesia.

“Maritim mengesan bot kayu itu dalam keadaan mencurigakan sekitar pukul 7 pagi. Kami berada di lokasi kejadian kerana sedang menyalurkan bantuan kepada sebuah bot nelayan tempatan yang mengalami kerosakan.

“Namun apabila melihat bot kayu tanpa nombor pendaftaran itu sedang bergerak dalam keadaan senget walaupun laut bergelora kuat, ia menimbulkan rasa sangsi.

“Bot itu ditahan dan hasil pemeriksaan mendapati, ada 75 pendatang asing termasuk tiga kanak-kanak sedang berhimpit-himpit di dalamnya,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata, 75 pendatang asing yang ditahan itu terdiri daripada 49 lelaki dan 23 wanita termasuk tiga sedang mengandung, berumur 20 hingga 52 tahun selain tiga kanak-kanak berumur setahun hingga tujuh tahun.

Katanya, turut diberkas adalah seorang tekong dan dua awak-awak bot berkenaan yang juga warga Indonesia.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati pendatang asing tersebut rata-rata bekerja sebagai buruh binaan, tukang sapu, pekerja kilang, pekerja pembersihan, pekerja hotel dan sebagainya.

Mohammad Rosli berkata, bot kayu sebesar bot nelayan tempatan Kelas A itu sepatutnya hanya boleh memuatkan maksimum lima individu dengan beberapa barangan sahaja.

“Modus operandi tekong bot adalah mereka akan nekad untuk bawa juga pendatang-pendatang asing ini sehingga dapat pulang ke negara asal kerana dia mahu upah. Bayaran yang dijanjikan adalah RM1,700 dan hanya akan diberi di Indonesia.

“Bot kayu itu pula disyaki bocor di bahagian enjin pada awalnya, namun ekoran muatan berlebihan, ia menyebabkan tahap kebocoran semakin teruk.

“Selepas kesemua pendatang asing itu dipindahkan ke bot maritim, bot kayu itu terus karam,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati, pendatang asing itu membayar RM800 seorang kepada ‘ejen’ untuk menaiki bot berkenaan semata-mata mahu pulang ke Indonesia bagi meraikan Hari Raya Aidiladha yang dijangka disambut, pada hujung minggu ini.

Katanya, hasil soal siasat awal, ‘ejen’ yang bertindak mengumpulkan kesemua pendatang asing itu disyaki warga Indonesia yang menetap di negara ini dan pihaknya sedang mengesan individu itu untuk membantu siasatan.

Mohammad Rosli berkata kesemua yang ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

-BERNAMA


Pengarang :