AGENDANASIONAL

Budayakan amalan berani tegur, jaga kebersihan

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengadakan kempen yang menggalakkan amalan tegur menegur dalam aspek kebersihan supaya orang ramai berani menegur individu yang didapati membuang sampah sesuka hati.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, budaya tegur menegur terutama dalam aspek kebersihan perlu menjadi amalan masyarakat, di negara ini.

“Saya akan lancarkan kempen ‘Saya Berani Menegur’ supaya rakyat Malaysia berani menegur dan yang ditegur tidak akan marah.

“Kita mahu pastikan negara bersih dan meningkatkan imej Malaysia sebagai negara progresif kerana kebersihan adalah penting’,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan ‘Little River Festival 2019’ di sini hari ini.

Katanya, negara memerlukan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk yang berani menegur supaya budaya berkenaan menjadi amalan yang datang dari diri sendiri, bukannya penguatkuasaan.

“Kita tidak boleh bergantung kepada pegawai penguat kuasa sahaja, ia tidak akan berjaya. Kita akan libatkan badan bukan kerajaan dan pastikan ia bukan sekadar program ‘touch and go’,” katanya.

Pada masa sama, Zuraida berkata, pihaknya akan membantu Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam aspek kendalian lif khususnya di kawasan kediaman Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“SOP kendalian lif ini di bawah (Kementerian) Sumber Manusia, ia bukan di bawah Kementerian Perumahan (dan Kerajaan Tempatan), tetapi saya akan kaji balik bagaimana kita boleh bantu pantau sama ada prosedur boleh dilaksana atau diperketatkan,” katanya.

Beliau mengulas insiden sebuah lif yang dinaiki sembilan individu termasuk seorang kanak-kanak terhempas dari tingkat lima ke tingkat bawah di salah sebuah bangunan PPR Kampung Kerinchi semalam, menyebabkan lapan daripada mereka cedera.

Berhubung perjumpaannya bersama beberapa Ahli Dewan Negeri Selangor semalam, Zuraida berkata perjumpaan itu diadakan bagi membincangkan isu PPRT.

“Saya bercakap berhubung Dasar Komuniti Negara yang memberi tumpuan kepada PPRT. Di kawasan perumahan ini, kita kena buat program penguatkuasaan dan taklimat intensif.

“Kita mahu perbaiki kualiti hidup golongan isi rumah berpendapatan rendah,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :