AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Bursa Malaysia rendah bagi seluruh papan semasa awal dagangan hari ini, selari dengan bursa serantau, berikutan kebimbangan berterusan terhadap perang perdagangan dan penurunan kadar faedah Amerika Syarikat yang gagal menarik perhatian pelabur global, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.61 mata kepada 1,630.26 daripada 1,634.87 ketika ditutup semalam.

Indeks barometer itu dibuka 6.07 mata lebih rendah kepada 1,628.8.

Lingkungan pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 193 berbanding 659, manakala 179 kaunter tidak berubah, 1,452 kaunter tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.29 bilion unit bernilai RM49.39 juta.

Seperti dijangkakan, Rizab Persekutuan AS (Fed) pada Rabu berkata ia mengurangkan penanda aras kadar faedahnya sebanyak 25 mata asas, kali pertama dalam tempoh 11 tahun untuk melonjakkan ekonomi dan inflasi yang lemah dalam keadaan perang perdagangan AS-China yang berlarutan.

Bagaimanapun, kenyataan Pengerusi Fed Jerome Powell bahawa bank pusat itu akan lebih ‘bersabar’ untuk beberapa lagi penurunan kadar faedah menjelang akhir tahun ini telah meletakkan pelabur dalam keadaan berhati-hati.

Sementara itu, AS dan China mengakhiri rundingan perdagangan antara mereka di Shanghai tanpa sebarang perjanjian, walaupun perunding yang mewakili kedua-dua kuasa besar ekonomi itu menggambarkan rundingan tersebut adalah positif.

Malacca Securities Sdn Bhd, dalam nota penyelidikan berkata berkata bursa tempatan dijangka mengalami tekanan menurun berterusan.

Bursa Malaysia terus sukar mencatatkan peningkatan berikutan ketidaktentuan baharu susulan perang perdagangan AS-China yang berpanjangan selain pendirian berpihak kepada kadar faedah rendah Fed mendorong ekuiti global memberi reaksi negatif terhadapnya.

“Ketidaktentuan pasaran yang berterusan dijangka menyebabkan indeks utama bergerak lebih rendah di tengah-tengah kekurangan minat belian baharu, sementara prospek pertumbuhan pendapatan tidak menggalakkan menjadi isu utama menjelangnya pelaporan kewangan korporat bulan ini.

“Berdasarkan paras sokongan segera pada 1,637 semalam, paras sokongan seterusnya kini disandarkan pada 1,630, diikuti 1,616,” kata firma penyelidikan tersebut.

Sebaliknya, Malacca Securities berkata aktiviti belian semasa harga rendah susulan penurunan baru-baru ini akan menyaksikan had kenaikan kepada paras masing-masing 1,650 dan 1,660.

Aktiviti penjualan di bursa tempatan turut meluas kepada saham berharga rendah memandangkan aktiviti pengambilan untung meningkat.

“Memandangkan wujud ketidaktentuan perdagangan global baharu, kami menjangkakan penurunan baru-baru ini akan terus berlarutan.

“Sekiranya tidak berlaku ia dijangka hanya sementara dengan minat belian kecil daripada peserta runcit disebabkan sentimen pasaran lemah,” jelasnya.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank menambah satu sen kepada RM8.66 manakala Tenaga naik lapan sen kepada RM13.90.

Public Bank turun 12 sen kepada RM21.78, Petronas Chemicals susut tiga sen kepada RM7.46, IHH Healthcare kurang empat sen kepada RM5.70 dan CIMB menguncup dua sen kepada RM5.06.

Saham yang didagangkan secara aktif, Zelan naik dua sen kepada 10.5 sen, Mlabs tidak berubah pada empat sen manakala Ucrest berkurangan 3.5 sen kepada 19 sen.

Tashin Holdings, yang baru disenaraikan di Pasaran ACE berada pada 51.5 sen, susut 6.5 sen daripada harga tawaran awal 58 sen, dengan 18.91 juta saham telah diniagakan.

Di papan skor, Indeks FBM Emas kurang 34.75 mata kepada 11,554.92, FBM Ace turun 28.63 mata kepada 4,739.16, FBM 70 merosot 58.65 mata kepada 14,435.69, Indeks FBMT 100 menguncup 35.46 mata kepada 11,378.39 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 28.32 mata kepada 11,974.62.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menurun 38.59 mata kepada 6,694.7, Indeks Perkhidmatan Kewangan kurang 67.76 mata kepada 15,991.24 tetapi Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.46 mata kepada 154.78.

-BERNAMA


Pengarang :