EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Harga saham di Bursa Malaysia meneruskan aliran lemah untuk dibuka rendah hari ini susulan sentimen pasaran global yang negatif dan kelembapan prestasi semalaman Wall Street.

Pada 9.11 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras turun 12.50 mata kepada 1,626.57 daripada 1,639.07 ketika ditutup pada Khamis.

Prestasi sesi dagangan awal hari ini menyaksikan 325 kaunter rugi dan 46 kaunter untung manakala 180 kaunter tidak berubah, 1,346 kaunter tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 193.24 juta unit bernilai RM85.01 juta.

Wall Street mencatatkan peningkatan awal namun kembali susut secara mengejut apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Twitter miliknya mengatakan akan mengenakan tarif tambahan 10 peratus ke atas import China bernilai US$300 bilion.

Ia sekali gus mewujudkan kembali kebimbangan terhadap kemelut perdagangan antara AS dan China.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, walaupun terdapat prospek pemulihan daripada prestasi terlebih jual, kelemahan berterusan di Wall Street dijangkakan mengekang peningkatan semula dalam jangka terdekat.

“Begitu juga, pasaran global yang dikejutkan oleh langkah AS untuk mengenakan tarif baharu ke atas barangan China, yang pasti akan menjejaskan pasaran tempatan.

“Keadaan itu dijangka melemahkan lagi sentimen pada akhir minggu ini, walaupun kami berpandangan kecenderungan menurun mungkin terhad kerana FBM KLCI sudah mengalami keadaan terlebih jual dan boleh meredakan potensi rendah,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Di peringkat tempatan, firma pembrokeran saham itu berkata masih terdapat beberapa petunjuk penting untuk diberi perhatian oleh pelabur yang mungkin mendorong mereka tidak memasuki pasaran.

“Bagi kecenderungan menurun, sokongan berada di paras 1,635 dan 1,626. Sementara itu, paras rintangan masing-masing pada 1,650 dan 1,660.

“Kami berpandangan peningkatan semula saham berharga rendah dan saham pasaran meluas mungkin terhenti memandangkan sentimen pasaran yang lebih berhati-hati susulan ancaman tarif baharu. Justeru itu, kami menjangkakan Indeks FBM Modal Kecil akan terjejas teruk bagi mengakhiri dagangan minggu ini,” menurutnya.

Antara saham paling rugi, Nestle merosot 80 sen kepada RM147.90, HLFG susut 32 sen kepada RM17.62, PPB turun 30 sen kepada RM18.42 dan Tenaga kurang 28 sen kepada RM13.76.

Kaunter berwajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.69, PBBank turun 10 sen kepada RM21.72 dan PChem susut satu sen kepada RM7.46.

Saham paling aktif, Bumi Armada dan Sapura Energy masing-masing turun setengah sen kepada 22.5 sen dan 29 sen, manakala VSolar menguncup satu sen kepada 17 sen.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 86.66 mata kepada 11,528.41, FBM Ace kurang 30.03 mata kepada 4,743.38, FBM 70 merosot 104.47 mata kepada 14,389.91, FBMT 100 Index menguncup 86.07 mata kepada 11,350.21 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 110.83 mata kepada 11,937.83.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan kurang 53.82 mata kepada 6,669.12, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 64.98 mata kepada 15,982.39 dan Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.60 mata kepada 154.65. – BERNAMA


Pengarang :