Ringgit

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 5 OGOS : Harga saham di Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan kekurangan petunjuk baharu.

Pada 9.32 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 12.72 mata kepada 1,614.04 daripada 1,626.76 semasa ditutup pada Jumaat.

FBM KLCI dibuka rendah 5.64 mata kepada 1,621.12.

Terdapat 339 kaunter rugi dan 104 kaunter untung, manakala 236 kaunter tidak berubah, 1,208 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 394.73 juta unit bernilai RM133.47 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata sentimen di pasaran saham masih dilihat lemah, berikutan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang meningkat, dan turut dijangka menyebabkan trend global yang kurang memberangsangkan berpanjangan.

“Sama seperti saham berkaitan indeks, kami melihat saham turut mencatatkan aktiviti jualan yang meningkat berikutan sentimen ekuiti lemah, dan ini menyebabkan ramai peserta runcit terus tidak memasuki pasaran,” katanya.

Antara kaunter paling rugi di Bursa, Fraser & Neave susut 44 sen kepada RM34.06, Kuala Lumpur Kepong merosot 38 sen kepada RM23.38, Petronas Dagangan turun 34 sen kepada RM23.32 dan Hong Leong Back berkurangan 14 sen kepada RM17.60.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM8.61, Public Bank merosot 14 sen kepada RM21.64, TNB turun lapan sen kepada RM13.78, manakala Petronas Chemicals dan IHH Healthcare, masing-masing susut enam sen kepada RM7.37 dan RM5.67.

Bagi saham paling aktif, Sealink naik 1.5 sen kepada 25 sen, Ekovest menambah setengah sen kepada 84 sen, Priceworth International dan Eduspec, masing-masing tidak berubah pada 6.5 sen dan 4.5 sen, manakala KNM dan London Biscuits, masing-masing merosot satu sen kepada 38.5 sen dan 14 sen.

Indeks FBM Emas susut 81.83 mata kepada 11,434.96, FBM Ace turun 20.36 mata kepada 4,668.98, FBM 70 merosot 84.72 mata kepada 14,271.5, Indeks FBMT 100 berkurangan 83.61 mata kepada 11,261.39, dan Indeks FBM Emas Syariah susut 94.88 mata kepada 11,831.64.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan merosot 64.92 mata kepada 6,624.25, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 72.64 mata kepada 15,892.23 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun 0.95 mata kepada 153.27.

-BERNAMA


Pengarang :