AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini ketika ekuiti tempatan terus dijejaskan oleh perang dagangan Amerika Syarikat (AS) dan China yang berlanjutan.

Pada 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 18.37 mata kepada 1,592.04 selepas dibuka susut 17.57 mata kepada 1,592.84.

Secara keseluruhannya, sentimen pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 550 berbanding 32 manakala 125 kaunter tidak berubah, 1,180 tidak diniagakan dan 19 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 307.2 juta unit bernilai RM157.84 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd mengunjurkan saham di Bursa Malaysia akan terus susut dalam masa terdekat ini berikutan ketidaktentuan pasaran yang berlanjutan.

Firma penyelidikan itu juga bimbang pertikaian dagangan AS-China itu akan hanya memanjangkan sentimen pasaran yang berhati-hati dan menyebabkan lebih banyak penggiat pasaran memilih berada di luar sehingga mendapat petunjuk baharu hala tuju yang jelas.

Ia menjangkakan sokongan seterusnya pada 1,590 tahap manakala rintangan dalam lingkungan 1,620 dan 1,630.

Pada Isnin, China bertindak membalas ancaman Presiden AS, Donald Trump untuk mengenakan tarif tambahan 10 peratus ke atas baki import China dengan menurunkan nilai yuan China, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa Beijing sengaja berbuat demikian bagi menangani ugutan terbaru Trump.

Di pasaran tempatan, antara saham yang rugi di Bursa Malaysia adalah Fraser & Neave yang susut 84 sen kepada RM33.06, Nestle turun 80 sen kepada RM146.60 dan Hong Leong Bank kehilangan 42 sen kepada RM17.24.

Bagi saham aktif, KNM susut tiga sen kepada 33 sen, Sapura Energy turun satu sen kepada 28 sen, Sumatec, Eduspec dan Bumi Armada masing-masing merosot setengah sen kepada tiga sen, 4.5 sen dan 21 sen manakala AirAsia turun lima sen kepada RM1.77.

Indeks FBM Emas jatuh 153.51 mata kepada 11,227.01, FBM Ace turun 103.74 mata kepada 4,482.31, FBM 70 merosot 254.74 mata kepada 13,876.02, Indeks FBMT 100 menguncup 145.32 mata kepada 11,070.57 dan Indeks FBM Emas Shariah rendah 166.48 mata kepada 11,627.15.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 97.94 mata kepada 6,512.17, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 160.85 mata kepada 15,661.18 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 2.16 mata kepada 148.89. – BERNAMA


Pengarang :