AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Bursa Malaysia dibuka rendah berikutan kaunter kewangan wajaran tinggi menerajui jualan besar-besaran menjelang ucapan yang dijangka daripada Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell hari ini dan Sidang Kemuncak G7 di Perancis pada hujung minggu ini.

Di peringkat tempatan, data mengenai aktiviti perniagaan dalam sektor pembuatan domestik yang lemah menyebabkan pelabur tidak memasuki pasaran buat masa ini, dengan ketidaktentuan global.

Pada 9.07 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 6.59 mata kepada 1,595.88.

Barometer pasaran dibuka rendah 6.7 mata kepada 1,595.77 berbanding 1,602.47 semasa ditutup semalam.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 134 berbanding 98, manakala 153 kaunter tidak berubah, 1,573 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 76.65 juta unit bernilai RM51.21 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, indeks utama berjaya mencatatkan pemulihan semalam, bagaimanapun keadaan pasaran masih dilihat tidak menentu dengan pasaran yang lebih luas menjadi bercampur-campur.

“Menjelang hari dagangan terakhir minggu ini, kami melihat pemulihan dalam masa terdekat untuk saham berkaitan indeks berikutan ia terus menyesuaikan daripada terlebih jual,” katanya.

Laporan ekuiti turut menunjukkan peserta pasaran memberi tumpuan kepada pengumuman mengenai kadar faedah dan perkembangan mengenai perdagangan.

Powell dijangka menunjukkan sama ada bank pusat AS akan terus menurunkan kadar faedahnya dan menyentuh mengenai pertikaian perdagangan antara AS dan China di simposium Jackson Hole di Wyoming, hari ini.

Pemimpin G7 turut mengadakan mesyuarat pada hujung minggu ini dan antara perbincangan utama ialah isu-isu ekonomi antarabangsa seperti teknologi, perdagangan dan Tabung Kewangan Antarabangsa.

Kaunter wajaran tinggi kewangan; Public Bank susut 32 sen kepada RM20.48, AMMB merosot enam sen kepada RM4.08, CIMB Group turun satu sen kepada RM5.05, Hong Leong Bank berkurangan empat sen kepada RM16.96 manakala Hong Leong Financial susut 10 sen kepada RM16.54.

Bagi saham aktif, Istone dan Ekovest, masing-masing tidak berubah pada 16 sen dan 80.5 sen, Sumatec dan Jadi Imaging, masing-masing susut setengah sen kepada 2.5 sen dan 5.5 sen manakala AirAsiaX merosot satu sen kepada 18.5 sen.

FBM Ace susut 24.27 mata kepada 4,623.37, FBM 70 merosot 24.90 mata kepada 14,111.05, Indeks FBM Emas berkurangan 38.80 mata kepada 11,299.99, Indeks FBM Emas Syariah turun 29.83 mata kepada 11,840.12 dan Indeks FBMT 100 susut 39.78 mata kepada 11,124.71.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 69.27 mata kepada 15,518.84, Indeks Perladangan merosot 22.67 mata kepada 6,749.98 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.28 mata kepada 150.11.

– BERNAMA


Pengarang :